Berita UtamaKata PedangUtama

Memang sesuai logo TMM2020 dan ‘Negara Kleptokrasi’

Berapa kerajaan bayar untuk logo 'kera ke orang'?

SEMEMANGNYA ia hodoh dan mengejutkan. Demikian rata-rata, netizen, khususnya komuniti pereka grafik di negara ini ‘mengutuk, mengecam dan menyindir’ logo Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Bukan saja anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi komen negatif, tetapi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga menyindir logo pilihan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang katanya, hanya akan mengundang rasa pelik pelancong.

“Wah, cantik benar logo untuk Visit Malaysia 2020. Tapi gambar dalam itu nampak macam kera ke manusia? Saya fikir mereka akan berasa pelik. Mungkin kerana pelik itu dia akan menarik, itu saya tak tahu,” kata Dr Mahathir.

Tapi menteri yang bertanggungjawab dalam urusan memikat pelancong ke Malaysia, tak peduli. Yang malu kita. Dia tak malu lancar logo TMM2020 jauh di hujung Thailand – wilayah Chiang Mai.

Komuniti pereka grafik di Facebook Grafik Malaya mengkritik dan kecewa terhadap kualiti serta konsep persembahan logo itu yang disifatkan tidak menepati taraf selayaknya.

Pereka grafik logo dan identiti korporat yang juga rakan Pedang, Aiman Rosli, kata bagi jenama yang mewakili negara yang akan dipamerkan dalam pelbagai bentuk media, termasuk dari luar negara, kerajaan mestilah ambil pihak yang benar-benar mahir.

Kena ada kredibiliti dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja mampu menjadi simbol keunikan dan keindahan negara kita, tetapi mempunyai ciri moden dan gaya persembahan yang terkini, menarik. Barulah dapat pujian. Kalau dapat kritikan, kecaman sudah tentu persembahan itu tak menarik.

Banyak lagi komen negatif mengenai logo TMM2020 itu.

Logo TMM2020 yang mendapat kritikan dan kecaman. Sesuailah dengan ‘Negara Kleptokrasi’.

Tapi, Pedang rasa memang logo itu setaraf dengan Malaysia sekarang yang digelar ‘Negara Kleptokrasi’. Logo TMM2020 itu memang dah sesuai bagi sebuah negara kleptokrasi. Jangan tukar lagi wahai Nazri Aziz. Dah sesuai sangat dah.

Tapi, dalam banyak-banyak kritikan sama ada dalam media sosial atau portal berita, Pedang tertarik kepada satu komen yang disiarkan dalam akhbar Hong Kong – South China Morning Post – ditulis oleh Hilariously Serious iaitu:

It is definitely ugly and appalling … but not sure it is “cheap”. They should check how much the artist billed for the work and how much their government actually paid for it …

Dia pun kata hodoh. Dia juga kata “mereka perlu periksa berapa caj yang dikenakan artis itu dan berapa pula jumlah yang sebenarnya kerajaan bayar” untuk rekaan logo hodoh TMM2020 itu.

Kenapa dia bangkitkan persoalan mengenai bayaran? Sudah tentu, dia beranggapan ada ‘hanky panky’ dalam setiap urusan kerajaan yang membabitkan kewangan. Kenapa? Sebab sudah banyak dilaporkan dalam media mengenai penyelewengan yang berlaku membabitkan jabatan, agensi, pegawai, pemimpin kerajaan dan ahli politik di Malaysia sejak beberapa tahun ini.

Kalau ikut tuduhan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), paling besar dalam sejarah ialah skandal 1MDB. Wang negara berjumlah berbilion-bilion ringgit berpindah dari satu akaun ke akaun lain di seluruh dunia. Lalu sesetengahnya berhenti ke akaun MO1. OKB pun muncul tiba-tiba. OKB (Orang Kaya Baru).

Kes tanah Felda, kes tanah kerajaan di kawasan strategik yang dijual kepada China, dan banyak lagi kes yang membabitkan ‘hanky panky’ wang bernilai berbilion-bilion ringgit, semua itu menyebabkan Hilariously Serious berkata “They should check how much the artist billed for the work and how much their government actually paid for it …

Kata Pedang: Biarlah pelancong datang lihat ‘kera’ dan ‘Orang Utan’ berpolitik, sambil makan pisang dan menjeling ringgit Malaysia.

 

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel kepada katapedang@gmail.com

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close