Berita Utama

Pemimpin negeri harus jadi contoh baik, bukan mencerca

Anwar dakwa pengundi Kedah tolak pemimpin suka gaduh, menghina

JITRA, 18 Muharram 1445H, Sabtu – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin negeri seharusnya memberikan contoh yang baik kepada golongan muda melalui dakwah secara hikmah dan bukannya dengan mengeluarkan perkataan mencerca orang lain.

Beliau berkata, pemimpin negeri perlu menjadi tokoh yang boleh dijadikan ikutan baik dalam kalangan anak muda dan sepatutnya memberikan penerangan tentang perancangan dibuat dan telah pun dibuat untuk membangunkan negeri.

“Dalam dakwah menyeru kepada kebaikan, itu suatu yang dituntut… seruan dakwah ini mestilah dengan cara hikmah. Seru dengan baik, jangan seru dengan cerca.

“Kita nak tunjuk tokoh. Kita terang apa nak buat, apa dah buat, masalah rakyat di Kedah ini antara negeri miskin,” katanya ketika berucap pada Taaruf Perpaduan di Bilik Gerakan Utama Harapan-BN (Barisan Nasional) di sini malam tadi.

Turut hadir calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra Datin Sabrina Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon DUN Bukit Kayu Hitam Zainol Abidin Mohamad daripada BN.            

Anwar berkata, pemimpin negeri juga sepatutnya mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan rundingan dapat dilakukan untuk pembangunan negeri termasuk menarik pelaburan sekali gus memberikan impak positif kepada rakyat.

“Saya bawa pelabur Jerman, keputusan besar (RM25 bilion) pi Kulim, Negeri Kedah, bukan dia (Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), (tetapi) Kerajaan Pusat… yang buat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) itu Kerajaan Persekutuan, yang bawa pelaburan itu Kerajaan Persekutuan, yang sebulan sudah, dia mai runding dengan saya, bukan runding dengan depa.

“Sebab apa dia runding dengan saya? Bukan sebab saya Anwar, sebab saya pimpin Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Perpaduan itu stabil, siapa Kerajaan Perpaduan? PH, BN, tunggaknya termasuk UMNO dan Keadilan (PKR).

” …yang penting kita kena buat, saya terang di Kedah ini antara negeri yang miskin, nak menang nak pimpin bukan daripada segi orang maki dan jerit, orang yang reti buat kerja, boleh berunding dengan Kerajaan Persekutuan, nak sokong kerajaan, sokong yang boleh bagi sumbangan, yang nak bersyarah tak payah jadi wakil rakyat, nak pimpin negeri ini kena ada dasar dia,” katanya.

Justeru, Anwar berharap rakyat Kedah memberi peluang kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk berusaha mencari jalan membela nasib rakyat sekali gus mengangkat martabat rakyat di negeri itu.

 

“Kita nak cari jalan supaya nasib rakyat Kedah kita angkat, saya minta percaya satu saja, kita akan lakukan sebaik mungkin, kita doa supaya kita laksanakan sedaya upaya kita, angkat martabat rakyat negara kita bermula di Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap di Jelajah Perpaduan MADANI Alor Setar di Alor Mengkudu malam tadi, Perdana Menteri berkata, terdapat indikasi yang menunjukkan pengundi di Kedah menolak pemimpin yang gemar mencari gaduh dan suka menghina serta memaki hamun pemimpin lain.

“Ada satu gerakan di mana rakyat (Kedah) tidak mahu lagi (pemimpin) gaduh-gaduh… rakyat Kedah mahu satu negeri yang bersatu padu, maju ekonominya serta menjaga rakyat yang miskin.

“Ini guna kuasa hari-hari maki orang. Apa saya teruk sangatkah? Tak baik macam itu, gaduh sikit-sikit tak apa tapi jangan hari-hari maki,” katanya. 

Beliau berkata sepanjang lapan bulan menjadi Perdana Menteri, tiada sebarang salah laku yang membabitkan anggota pentadbiran di bawahnya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button