Berita UtamaDunia

Perarakan Yahudi provokasi terang-terangan terhadap rakyat Palestin

Hamas dan seluruh rakyat tetap pertahankan Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 28 Syawal 1443H, Ahad – Nasionalis Yahudi – yang mengibarkan bendera – berarak melalui kawasan muslim Kota Lama Baitulmaqdis dalam satu perarakan sehingga mencetuskan semula ketegangan antara warga Israel dan Palestin.

Perarakan tahunan Baitulmaqdis meraikan penawanan Israel ke atas Kota Lama dalam perang Timur Tengah 1967 dan menarik ribuan peserta sambil melontarkan batu.

Bagaimanapun, bagi rakyat Palestin, perarakan itu provokasi terang-terangan dan pencabulan salah satu daripada beberapa lokasi di bandar itu – yang semakin dikepung oleh pembangunan dan penempatan haram Yahudi.

Semalam, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengeluarkan kenyataan menggesa rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis, bersama-sama dengan minoriti Arab Israel bangkit untuk mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Walaupun desakan untuk memikirkan semula perarakan daripada beberapa sekutu gabungannya sendiri, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett enggan menerima sebarang perubahan.

“Perarakan bendera diadakan seperti biasa mengikut laluan yang dirancang, seperti yang telah berlangsung selama beberapa dekad,” kata pejabatnya sambil menambah bahawa ia akan menyemak keadaan secara berkala sepanjang beberapa jam akan datang.

Baitulmaqdis dan tapak sucinya terletak di tengah-tengah konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad.

Israel melihat seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya yang abadi dan tidak boleh dibahagikan, manakala rakyat Palestin mahukan bahagian timur sebagai ibu negara masa depan mereka.

Ketegangan telah meningkat di bandar selama beberapa minggu.

Pertempuran berulang berlaku antara rakyat Palestin dan polis Israel di perkarangan al-Aqsa pada April – ketika bulan Ramadan – dengan umat Islam berang berikutan peningkatan jumlah pengunjung Yahudi ke lapangan masjid.

Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci dalam Islam.

Perarakan pada Ahad berakhir di Tembok Barat iaitu kawasan suci bagi kaum Yahudi yang terletak di bawah Masjid al-Aqsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button