Berita Utama

ISMA ucap takziah kepada mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

'Syabas kerajaan Malaysia turut prihatin salur bantuan'

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Turkiye dan Syria susulan gempa bumi yang melanda kedua-dua negara itu pada Isnin.

“Takziah diucapkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Semoga Allah melindungi dan memudahkan urusan mangsa,” kata Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, beliau mengucapkan syabas kepada Kerajaan Malaysia kerana menghantar 70 pegawai dan anggota bagi membantu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Turkiye.

“Syabas juga buat Kerajaan Malaysia yang turut prihatin dengan menyalurkan bantuan pasukan penyelamat seramai 70 orang ke Turkiye.

“Semoga anggota yang terlibat selamat pergi dan pulang,” katanya.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia menghantar pasukan bantuan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar kemanusiaan dan jalinan hubungan yang erat antara kedua-dua negara.

Pegawai dan anggota terlibat membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART); Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Menyelamat (JBPM) dan Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kejadian gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, diikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

Selain Turkiye, negara jiran Syria dan Lubnan turut terjejas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button