Berita Utama

Masjid utama dibuka sebagai PPS tambahan di Johor

Pelan kontigensi kerajaan tampung penduduk terkesan banjir

BATU PAHAT, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Kerajaan negeri sudah mula membuka masjid-masjid utama di kawasan terjejas banjir di Johor sebagai pusat pemindahan tambahan (PPS), susulan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia merupakan pelan kontingensi, yang diambil kerajaan negeri bagi menampung pertambahan tinggi penduduk terkesan banjir.

Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak tujuh masjid di daerah itu telah dibuka iaitu Masjid Pekan Sri Medan, Masjid Parit Jayus, Masjid Parit Baru, Masjid Simpang Tiga Parit Sulong, Masjid Kampung Parit Betong, Masjid Kampung Parit Jambi dan Masjid Parit Andin 3.

Beliau berkata langkah itu juga, merupakan pelan segera yang diambil bagi mengatasi kesesakan di PPS sedia ada.

“Pembukaan masjid utama itu dibuka sebagai PPS dengan garis panduan disediakan bagi terus mengekalkan kemuliaan masjid.

“Ada sebahagian penduduk terpaksa bermalam dalam kereta malam tadi, bukannya nak cari salah siapa tetapi air naik dengan cepat dan kebetulan PPS sedia ada tidak dapat menampung,” kata Mohd Fared.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, di sini, hari ini.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 218 PPS dibuka di seluruh negeri melibatkan lebih 30,000 mangsa banjir.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd Fared berkata, masjid di seluruh negeri Johor dianjurkan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, hari ini, bagi memohon perlindungan Allah dan kesejahteraan Bangsa Johor dalam situasi banjir.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button