Berita Utama

Rakyat mahukan kestabilan kerajaan, usah lagi main isu tarik sokongan

Apakah Kabinet PM ke-9 akan dianggotai politikus 'dinosaur' tidak kompeten?

BANGI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera memberikan penumpuan serius kepada isu ekonomi dan kesihatan rakyat. 

Pada masa sama, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat mahukan kestabilan dek kerana sudah letih dengan drama pergolakan kuasa tatkala pelbagai krisis belum selesai. 

Segala perubahan kuasa pentadbiran negara selepas ini hanya layak dipertandingkan di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah sangat hampir. 

“Maka, kita harapkan agar isu tarik sokongan tidak berlaku lagi dalam tempoh yang singkat itu. 

“Kita tahu betapa tipis dan goyahnya kerajaan yang ada ini. Jika tukar kerajaan lagi pun sama, majoritinya tipis juga. 

“Janganlah ada usaha melompat dan melobi sokongan lagi selepas ini. Gencatan politik perlulah berlaku, tetapi tidak menghilangkan mekanisme ‘check and balance’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak dapat dinafikan, katanya, dengan pelbagai kepentingan peribadi dan parti masing-masing yang pelbagai khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan, pasti akan ada situasi ugut-mengugut seperti berlaku sebelum ini, termasuk ketika zaman Pakatan Harapan (PH). 

“Kita harap penyelesaian terbaik dapat ditemui tanpa menggadaikan apa-apa khususnya rakyat dan negara.

“Ahli politik khususnya Ahli-ahli Parlimen perlu bersabar dan tunggulah PRU15 yang sepatutnya berlangsung pada tahun hadapan, seperti yang dijanjikan (dan janji itu mesti ditepati). 

“Ketika tiba waktunya nanti, dapatkanlah mandat baharu rakyat kembali dan ubahlah sistem agar apa yang berlaku hari ini tidak berulang,” katanya.

Lebih penting ketika ini, katanya, rakyat sedang menanti barisan Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri ke-9.

“Apakah akan dianggotai oleh politikus-politikus ‘dinosaur’ yang tidak kompeten hanya sebagai habuan atau akan ada lebih ramai profesional pakar bidang luar lingkungan parti dapat dilantik nanti? Di sini adalah penilaian paling awal dan fundamental yang rakyat akan buat. 

“Apa-apa pun, kita doakan yang terbaik agar kepimpinan negara yang baharu ini dapat memulihkan kembali negara dan selepas itu dapat memulangkan kembali mandat rakyat melalui PRU15 seperti yang dijanjikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button