Berita UtamaKolumnisUstaz Sharipudin Abdul Kadir

Hujan bukan kerana katak yang panggil

BIASANYA perumpamaan katak di bawah tempurung ditujukan kepada seseorang yang pemikirannya jauh ke belakang. Mungkin sudah ketinggalan zaman pemikirannya atau juga hidupnya terpencil dipinggir belantara. Tiada sebarang helaian ilmu atau maklumat yang dibaca. Mungkin juga hidup di perkampungan tepian belantara tiada jalan berturap, mandi di relung tanah berlopak. Inilah perumpamaan diberikan kepada seseorang yang dikatakan sebagai katak di bawah tempurung. Begitulah juga perumpamaan ini boleh digunakan juga kepada seseorang yang masih mendakwa kononnya Malaysia di ambang kemerosotan kerana proses Islamisasi. Bercakap bak cendekiawan, tetapi maklumat hanya seisi tempurung akhirnya dilempar setelah santannya diperah.

Kali ini saya tidak akan mengupas peranan Islam dalam memacu tamadun dan peradaban dunia. Ianya telah banyak dikarang dan dikupas oleh ramai sarjana Islam dan bukan Islam. Bagaimana Islam telah memacu tamadun dan peradaban dalam semua bidang kehidupan seperti perubatan, pendidikan dan lain-lain untuk beberapa kurun lamanya di kala Barat berada dalam kegelapan yang pekat. Perbicaraan kali ini adalah lebih kepada seseorang yang mengupas mengenai Islam tetapi maklumat masih di bawah tempurung tentang Islam.

Kalaulah beliau merasa kagum dengan pemikiran liberal yang diimani dan dianuti, setakat ini tiada lagi bahan-bahan liberal hasil keluaran beliau yang dijadikan bahan rujukan untuk pendokong liberal. Apa yang berlaku beliau hanya mengulangi kupasan orang lain tentang liberal. Ibarat seekor katak akan berbunyi apabila hujan. Kita tidak kedengaran suara katak sebelum hujan. Maknanya hujan bukan kerana panggilan katak supaya hujan turun.

Adalah lebih baik beliau mengeluarkan sebuah buku atau kajian akademik dengan menyatakan di dalamnya bagaimana liberal dapat memajukan sesebuah negara. Bagaimana liberal dapat memajukan tamadun dan peradaban manusia di Timur dan Barat. Ianya perlu dibuktikan dengan contoh-contoh yang jelas dan masih relevan sehingga sekarang. Kalau liberal berjaya menyusun dan memajukan tamadun dan peradaban dunia nyatakan faktor kejayaannya secara jelas semoga boleh dijadikan contoh oleh generasi sekarang dan akan datang. Bukan hanya menyalahkan Islam konon-kononnya penyebab kepada kemunduran dan kemerosotan sesebuah negara tanpa mengemukakan bukti bagaimana liberal boleh memajukan Malaysia. Cuba anda berikan bukti atau teori bagaimana liberal telah berjaya memajukan Malaysia dalam pendidikan, ekonomi, sosial dan politik.

Kemajuan Malaysia dalam tamadun dan peradaban sekarang ini adalah kerana masih ada kelompok umat ini yang masih berpegang dengan ajaran Islam. Kerana kelompok ini jati diri agama dan bangsa masih terpelihara. Hujan bukan kerana katak yang memanggilnya. Mereka yang dalam kejahilan sahaja akan mengatakan hujan kerana katak yang memanggilnya. Tiada fakta atau bukti yang mengatakan Malaysia maju kerana ikut pemikiran liberal. Tetapi kemajuan Malaysia dapat dipertahankan kerana masih ada kelompok umat ini menyatakan kebenaran Islam dan berpegang teguh dengan Islam.

Pemikiran liberal akan mengikis jati diri bangsa dan agama bangsa Melayu. Pemikiran liberal akan menjadikan Melayu tidak berbangsa dan tidak beragama sedangkan bangsa lain berusaha untuk membina jati diri bangsa mereka. Hanya ada dalam bangsa Melayu sahaja kelompok seperti ini yang hidup dengan penuh keraguan terhadap agama dan bangsanya sendirinya. Hidupnya tiada hala tuju dan matlamat yang jelas. Hindarilah diri dari kumpulan yang mendakwa hujan kerana katak yang memanggil. Dakwaan sebegini adalah dari seseorang yang kekeringan ilmu dan fakta tetapi merasakan jagoan dalam masyarakat.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir
YDP Isma Pasir Puteh
Kelantan

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close