Kata PedangUtama

Kalau Pedang jadi Perdana Menteri Malaysia….

KETIKA ini heboh dibincangkan siapakah calon perdana menteri jika pembangkang berjaya mengalahkan kerajaan Barisan Nasional.

Penelitian Pedang di media sosial, rata-rata anak muda menolak cadangan mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara.

Hujah mereka mudah.

Pertama, memang betul Tun Dr Mahathir seorang negarawan hebat. Tapi adakah beliau pemimpin masa hadapan? Zaman beliau sudah berakhir.

Kedua, tempoh ‘sementara’ diberikan kepada Tun Dr Mahathir adalah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dibebaskan kelak. Dah memang tak ada orang lain kah yang layak menjadi perdana menteri di kalangan pembangkang?

Ketiga, tak semua pemimpin pembangkang suka kepada Tun Dr Mahathir yang telah berlaku zalim kepada mereka sebelum ini. Disebabkan politik, kini mereka terpaksa akur kepada bekas perdana menteri itu.

Adakah situasi ini sihat untuk Malaysia?

Timbul persoalan lain yang juga sudah diketahui jawapannya. Jika anak muda tolak Tun Dr Mahathir, adakah mereka mahu Datuk Seri Najib Razak kekal di jawatannya sekarang?


Jawapannya tidak. Mereka mahu Najib letak jawatan. Skandal korupsi melibatkan pemimpin tidak pernah putus. 1MDB, Felda dan lain-lain. Cukup-cukuplah kepada Najib dan BN.

Lalu, apakah pilihan yang ada?

Melihat kepada realiti hari ini, umat Islam sebenarnya mempunyai pilihan.

Merujuk kepada sistem politik Islam, seharusnya pemimpin berwibawa perlu dilantik dan diangkat selayaknya menjadi ketua negara.

Siapakah orangnya? Apakah ciri-ciri pemimpin yang baik di sisi Islam?

Sudah pasti mereka yang amanah dan mengutamakan agenda Islam dalam pemerintahan. Kita boleh ukur sendiri sejauh manakah seseorang pemimpin itu memperjuangkan Islam.

Sesiapa yang membawa kebaikan dan manfaat untuk Islam, tak kira daripada parti mana sekalipun, kita perlu sokong. Hentikan taksub kepartian berlebihan yang membawa perpecahan.

Inilah pilihan yang terletak di tangan kita. Satukan hati, satukan agenda. Gunakan kuasa selaku pengundi. Biar mereka terpaksa tunduk dan patuh dengan suara kita yang mahukan pemimpin amanah dan berkualiti tinggi.

Pedang: Tak kisah siapa pun memerintah dengan syarat Islam dan Melayu terus dimartabat.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Kemelut Melayu makin berbelit dan kusut, lepas satu, satu. Kerja umrah pun nak dijadikan bahan membesar tembolok secara paksaan, tanah harta yang diamanahkan pun dilelong sesuka hati tetapi dalam masa yang sama tanpa rasa malu bertakbir sana-sini perjuangkan Islam. Sendiwara jenaka teragung penutup hujung tahun masihi yang begitu malang buat umat Melayu…
    Semoga tahun baru masihi 2018 ini dapat memperlihatkan kembalinya maruah umat Melayu di bumi Tanah Melayu..

    Tiba 2018, yang paling diberi perhatian Pilihanraya Umum ke14. AlWatan menjangkakan PRU14 akan bergelumang dengan isu perkauman. Akan ada percaturan di luar jangkaan berlaku sebelum hari mengundi.

    DAP akan tinggalkan Pakatan Harapan atau ditendang keluar.
    Penyokong DAP tidak dapat menerima kerjasama DAP dengan parti lain terutamanya Bersatu. Mereka khuathir kepentingan mereka akan terhakis akibat tolak ansur politik dalam PH. DAP yang dahulunya disanjung pejuang sudah mula dicurigai. Adanya kempen undi rosak bagi PRU14 memperlihatkan kecenderungan itu. Akan ada lagi kempen-kempen lain yang sepertinya bagi menggagalkan kemenangan PH. DAP bagi mereka adalah peneraju perjuangan, meraka tidak dapat menerima DAP menjadi pengikut kepada satu pakatan yang diketuai oleh orang lain. Kepentingan mereka mengatasi keinginan kepada kerajaan yang lebih beramanah dan bermaruah. Kepentingan kuasa politik dan ekonomi lebih utama, maruah dan amanah tiada dalam kamus mereka.

    PAS akan menjauhkan diri dari BN.
    Sukar bagi beberapa kerat pemimpin PAS meyakinkan pengikut mereka akan setiakawan UMNO. UMNO juga terikat dengan ikrar perkongsian kuasa dengan parti komponen yang tidak menyenangi hubungan intim UMNO PAS. Ketidakselesaan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Borneo jelas diperlihatkan. UMNO memahami perkara ini. PAS sendiri perlu memastikan peruntukkan kerusi yang mencukupi di parlimen bagi menjamin suara mereka bermakna dan tidak diperguna hanya untuk kemenangan UMNO dalam PRU. Ketidakhadiran TGHH dan pemimpin utama yang lain dalam himpunan solidariti Palestin memperlihatkan tanda-tanda curiga dan waspada pemimpin PAS.

    Peranan dan pengaruh Tun Mahathir.
    Percaturan politik Tun M amat memberi kesan pada PRU14. UMNO/BN menyedari hakikat ini. Tidak hairanlah jika diperhatikan serangan-serangan bertubi-tubi terhadap Tun M, bukan kepada Bersatu maupun PH, apatah lagi kepada DAP. UMNO/BN masih menaruh harapan dapat membeli beberapa pemimpin Bersatu, Amanah dan parti-parti lain dalam PH termasuk DAP. Tun M diserang kerana beliau pernah meneraju negara. Undi dari pengundi atas pagar dan mereka yang tidak berparti terutamanya golongan muda penting dan penentu kemenangan dalam PRU14. Jika peneraju negara sekarang ini dituduh dengan pelbagai salah laku, mereka perlu dipengaruhi bagi mempercayai kepimpinan Tun M dulu pun kalau tidak lebih buruk, setidak-tidaknya sama buruk seperti yang ada sekarang, itu yang sedang diusahakan dengan apa juga cara dan kuasa yang ada. Apabila Tun M dan parti Bersatu yang diterajui beliau tidak mendapat sokongan secukupnya, parti-parti dalam PH berkemungkinan berpaling tadah, ini kegilaan biasa dalam politik. Jadi atas perkiraan itu, serangan tertumpu kepada Tun M. Parti dan pemimpin lain dalam PH diserang secara suam-suam kuku bagi mengabui mata. Timbal balas kepada tindakan itu, Tun M dibiarkan bersedirian mempertahankan diri dan menyerang balas. Inilah permainan politik yang sentiasa kotor dan berbelit.

    DAP bersama BN.
    Sejarah menyaksikan parti Gerakan yang merupakan antara watak utama tragedi 13 Mei, menyertai BN pada tahun 1972. Apalah yang mustahil sangat jika DAP menyertai BN kelak selepas PRU14 2018. Dengan kecenderungan UMNO/BN sekarang yang memandang ke tembok besar lebih hebat dari Tun M memandang ke timur ianya menjadi lebih berkemungkinan. Tetapi ianya hanya dijangka berlaku selepas keputusan PRU14 diumumkan. Bilangan kerusi UMNO/BN dan DAP akan menjadi penentu. Jika UMNO/BN perlukan bilangan kerusi dari DAP untuk membentuk kerajaan, kerjasama dan tolak ansur akan dirundingkan. DAP akan tinggalkan Tun M dan PH dengan menyertai BN jika habuannya berbaloi. Ianya dengan mudah akan dilakukan melihat kepada cara kepimpinan BN sekarang. Kalau dengan negara Cina boleh dilakukan, apalah sangat dengan DAP.

    PAS bersama PH
    PAS boleh duduk semeja dengan PH jika tanpa DAP. Samada ia berlaku sebelum PRU atau selepasnya bergantung kepada kedudukan DAP dalam PH. Pengagihan kerusi akan menjadi masalah besar kepada PH. Keberadaan PKR dalam PH mengganggu DAP dalam agihan kerusi kawasan bandar dan kawasan pengundi majoriti Cina. Ia mungkin memyebabkan DAP keluar PH sebelum PRU. Tindakan tikam belakang semasa berkempen akan menyebabkan berlaku pertelingkahan PKR DAP selepas PRU yang memungkinkan DAP keluar PH. Dalam salah satu keadaan ini PAS akan membuat congakan politik mereka samada bersama PH, bersama BN atau bersendirian. PH sememangnya bersedia menerima PAS, perseteruan Amanah dengan PAS boleh diredakan oleh Tun M.

    Pengelibatan pengaruh luar dalam PRU14.
    Keputusan PRU akan menentukan parti/pakatan mana yang akan membentuk kerajaan yang memerintah. Negara kuasa besar dan yang berkepentingan tentu ingin memastikan kerajaan yang terbentuk nanti memihak kepada mereka. Negara-negara ini pula tentunya mempunyai seteru yang inginkan sebaliknya. Perkara ini bukan asing bagi negara ini. Lambakan dana akan mencurah datang kepada parti-parti yang ditaja mereka bersama pakar-pakar strategi termasuk agen-agen pelaksana dan pencetus. Terpulanglah kepada parti-parti yang terlibat samada mahu ditunggangi atau masih mempertahankan kedaulatan negara mengatasi kepentingan parti masing-masing. Bagi pengundi, terutamanya orang Melayu, berhati-hatilah.

    Kuasa pengundi Melayu.
    Bersatu dan UMNO mengharapkan kemenangan dikawasan pengundi Melayu. Bilangan kerusi yang dimenangi akan menentukan kuasa rundingan dan tolak ansur dalam PH dan BN. PAS akan menang di kerusi tradisi mereka. Jumlahnya mungkin sedikit berkurangan tetapi cukup untuk diberi perhatian oleh kedua-dua PH dan BN. Jadi betullah perkiraan PAS untuk bermain tarik tali dengan UMNO dan tidak bertalak tiga dengan PH. Akhirnya, kebijaksanaan pengundi Melayu menjadi penentu namun pilihan hanya ada untuk memilih UMNO atau Bersatu atau PAS, bukan PH atau BN. Congaklah dengan bijak, semoga pandangan dan analisa ini diberikan sedikit pertimbangan sebelum keluar mengundi.

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close