Dunia

Sempadan Pakistan-Afghanistan kembali tenang selepas serangan ragut 10 nyawa

Kedua-dua negara beri jaminan 'insiden maut' tak berulang

ISLAMABAD, 19 Jamadilawal 1444H, Rabu – Lintasan sempadan utama antara Pakistan dan Afghanistan dibuka semula dua hari selepas serangan berbalas tembakan antara kedua-dua negara.

Serangan berdarah itu telah mengorbankan sembilan orang awam Pakistan dan seorang askar Afghanistan.

Pegawai sempadan di Chaman, Abdul Hameed Zehri berkata, keadaan di lintasan sebelah Pakistan kini dalam keadaan kembali normal pada Selasa.

“Sempadan dibuka untuk perdagangan dan kegunaan awam seperti biasa. Keadaan berjalan lancar dan di sini tenang,” katanya.

Lintasan sempadan Chaman – terletak hampir 120 km (74 batu) barat laut Quetta, ibu kota wilayah Balochistan barat daya Pakistan – adalah kawasan paling sibuk antara kedua-dua negara dan digunakan oleh ribuan penduduk setiap hari.

Pada Ahad, tentera Pakistan mendakwa serangan tanpa provokasi telah dilancarkan daripada pihak Afghanistan di persimpangan itu, sehingga membunuh beberapa orang awam dan mencederakan lebih 12 yang lain.

Keesokannya, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif memberitahu Parlimen bahawa pihak berkuasa Afghanistan telah membuat permohonan maaf.

“Provokasi dimulakan oleh Afghanistan. Pasukan kami sedang membaiki pagar sempadan apabila mereka diserang oleh tentera Taliban.

“Dalam tembakan pertama, tiada kemalangan jiwa tetapi serangan kedua, mereka menggunakan meriam dan mortar yang mengakibatkan kematian orang awam,” katanya.

Susulan insiden itu, pegawai daripada kedua-dua pihak bertemu dan pihak berkuasa Afghanistan memberi jaminan bahawa kejadian sama tidak akan berulang.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button