Berita UtamaIstimewa

Proksi? Apa hubungan Naib Presiden MCA dengan Parti Komunis China?

Ahli politik taat kepada China, parti komunis ada di semua blok politik

BANGI, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Keterbukaan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Parti Komunis China menimbulkan pelbagai persoalan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Malaysia (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tindakan itu seolah-olah ingin membuktikan sesuatu mengenai hubungannya dengan Parti Komunis China kepada rakyat Malaysia secara terbuka.

Walhal, katanya, Teik Cheng mempunyai pilihan untuk mengucapkan tahniah (jika kononnya kerana hubungan diplomatik) dengan hanya mengutus surat, tetapi beliau bertindak sebaliknya.

“Mungkin ada yang berhujah bahawa ianya adalah kerana diplomasi kerajaan Malaysia kepada kerajaan China yang diperintah oleh parti komunis. Jika pun begitu, persoalannya mengapa beliau sahaja yang bersungguh? Kementerian Luar Negeri pun tidak ada ucap.

“Saya bertambah sangsi apabila sebenarnya beliau ini mempunyai beberapa reputasi lampau berkait Parti Komunis China ini yang membuatkan kita terfikir sejenak, apakah hubungan beliau dengan Parti Komunis China?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, umum masih mengingati peristiwa awal tahun ini di mana ada beberapa restoran Cina memaparkan karikatur dan perhiasan Parti Komunis China yang telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. 

Walaupun begitu, Teik Cheng pula berani melawan arus dan menjadi paling lantang mempertahankan tindakan restoran tersebut dengan hujah kononnya boleh menyinggung parti komunis di China.

“Tidak lama sebelum itu juga, media juga ada melaporkan bahawa beliau pernah berbincang dengan Parti Komunis China mengenai cadangan membangunkan kampung baru Cina. Tatkala isu pelancong negara China yang masuk tidak pulang masih belum selesai, maka ini pastinya menimbulkan seribu satu persoalan.

“Untuk pengetahuan anda, kerajaan melantik beliau untuk menerajui Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang. Ini menunjukkan beliau ini adalah individu penting dalam kerajaan hari ini, bukan calang-calang,” katanya.

Melihat tindakan pemimpin MCA, Aminuddin mendakwa, hakikatnya ahli politik yang mempunyai ‘ketaatan’ kepada negara China dan Parti Komunis China ada di semua blok politik. 

“Maknanya, siapa sahaja yang naik menjadi kerajaan, maka kelompok ini pasti sahaja akan mendapat tempat.

“Persoalan yang lebih besar di sini ialah, apakah keadaan ini adalah satu bentuk campur tangan negara China dalam polisi dan hala tuju negara melalui proksi? 

“Ini bukan perkara baru, kerana ianya adalah ‘template’ campur tangan mana-mana kuasa besar dunia di negara-negara kecil,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button