Berita Utama

Giliran pada 2020 diutamakan dalam pemilihan jemaah haji

Sistem pendaftaran berasaskan yang dahulu didahulukan

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal haji yang giliran tunai haji mereka pada 2020, diikuti giliran pada 2021 dan seterusnya 2022, bagi pemilihan jemaah haji tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan hari ini berkata ia berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Beliau berkata rayuan haji melalui platform dalam talian iaitu aplikasi Tabung Haji Online (THiJARI) juga telah dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.

Justeru Amrin berkata TH menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen-dokumen berkaitan termasuk sijil vaksinasi COVID-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa.

“TH akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

Sementara itu, Amrin berkata pengumuman itu merupakan satu berita baik untuk TH dan bakal jemaah haji dari Malaysia.

“Kami bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dan yakin penilaian serta penelitian semua aspek telah dibuat bagi memastikan keselamatan para jemaah haji yang datang dari segenap pelosok dunia terjamin,” katanya.

Beliau berkata TH telah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci Makkah.

Kuota haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebelum ini adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Pada 2019, kuota haji Malaysia adalah 31,600 orang, namun pada tahun ini ibadat haji hanya dibenarkan untuk 1 juta jemaah sahaja mengambil kira kriteria penjagaan kesihatan berbanding sekitar 2.5 juta jemaah pada 2019. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button