Berita UtamaUtama

Kerajaan sambung tugas Arul Kanda di 1MDB

BANGI, 2 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Arul Kanda Kandasamy yang pernah mencetuskan kontroversi dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dikatakan kekal sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat milik kerajaan itu, lapor portal.

The Malaysian Insight melaporkan, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Arul Kanda sebagai teraju 1MDB bagi memastikan kelancaran operasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.

Arul Kanda sepatutnya tamat tempoh jawatan pada 31 Disember ini, selepas dilantik sejak Januari 2015.

Sebelum ini Arul dipertanggungjawab untuk memulihkan syarikat pelaburan negara itu ekoran 1MDB dituduh terlibat dengan penggelapan wang haram oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat serta pihak berkuasa di Singapura dan Switzerland.

Terdahulu, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor sudah memulakan siasatan jenayah terhadap penyalahgunaan dana 1MDB.

Dokumen mahkamah yang difailkan oleh DoJ menunjukkan AS sedang mempergiatkan siasatan di seluruh dunia bagi mengesan wang 1MDB yang diseleweng untuk membeli hartanah mewah dan lukisan serta dilaburkan dalam produksi filem dan banyak lagi.

Dalam saman sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB dipindahkan oleh pegawai atasan dana itu dan sekutunya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan yang didakwa dirompak daripada 1MDB dan dituntut DoJ untuk disita ialah AS$4.5 bilion.

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close