Berita Utama

COVID-19: Malaysia catat 62 kes baharu

Jumlah keseluruhan jangkitan kini cecah 5 angka iaitu 10,031 kes

KUALA LUMPUR, 28 Muharram 1442H, Rabu – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia hari ini mencecah lima angka iaitu 10,031 kes selepas 62 kes baharu direkodkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 668 kes.

Dr Noor Hisham berkata daripada kes baharu itu, 61 kes mendapat jangkitan dalam negara membabitkan 41 warganegara dan 20 bukan warganegara manakala satu kes import melibatkan seorang warganegara yang pulang dari India.

Sebanyak 59 kes baharu adalah di Sabah melibatkan 48 kes daripada Kluster Benteng LD termasuk 20 bukan warganegara, katanya dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di dalam negara, hari ini.

Beliau berkata selain itu, kes di Sabah itu melibatkan saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu (empat kes); saringan di Pintu Masuk Antarabangsa dari Semenanjung (tiga kes); saringan di Klinik Kesihatan Lahad Datu (dua kes); dan Kluster Pulau dan di Penjara Sandakan masing-masing satu kes.

“Kedah turut mencatatkan satu kes daripada Kluster Sungai dan Pulau Pinang dengan satu kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-9,397 dan kes ke-9,459. Beliau merupakan ahli keluarga kepada kedua-dua kes itu dan kesemua mereka duduk serumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 26 kes COVID-19 yang telah pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan penyakit itu adalah 9,235 kes atau 92.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat pandemik itu kekal 128 kes, katanya.

Beliau berkata kes aktif, iaitu kes dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat saban hari manakala kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga didapati semakin meningkat.

“Pada masa ini terdapat 15 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sekiranya situasi itu berlanjutan, fasiliti kesihatan negara perlu menampung beban yang tinggi semula.

Justeru, bagi mengelakkan daripada berlakunya situasi demikian, setiap individu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat perlulah memainkan peranan masing-masing dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat-nasihat yang dikeluarkan kerajaan, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button