PM Anwar, pemimpin parti sertai perarakan perpaduan Gombak, beri sokongan kepada calon
Slogan 'Kerajaan Perpaduan' bergema sepanjang satu kilometer perjalanan
KUALA LUMPUR, 11 Muharam 1445H, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai Perarakan Perpaduan Gombak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk memberi sokongan kepada tiga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu iaitu Sungai Tua, Hulu Kelang dan Gombak Setia.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tiba pukul 8.50 pagi, dilihat berarak seiringan bersama tiga calon DUN iaitu bagi Sungai Tua Datuk Seri Amiruddin Shaari (PH); Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli (PH) dan Gombak Setia Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN).
Perarakan yang bermula dari Jambatan Sungai Chinchin hingga ke pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini turut sertai barisan pimpinan tertinggi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Perarakan mengiringi tiga calon mewakili PH dan Barisan Nasional (BN) itu turut disertai Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dihiasi panji logo PH dan BN, pemimpin-pemimpin bersama penyokong parti berjalan sambil melaungkan slogan “Kerajaan Perpaduan” yang bergema sepanjang kira-kira satu kilometer perjalanan yang memakan masa kira-kira 20 minit itu.
Sejurus tiba di luar pusat penamaan calon, Perdana Menteri melaungkan ‘reformasi’ sebelum meninggalkan kawasan itu.
Meskipun berlaku sedikit ketegangan antara penyokong Kerajaaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) di tempat berkumpul bersebelahan pusat penamaan calon itu, keadaan dikawal serta dipantau rapi anggota pasukan keselamatan yang bertugas.
Sementara itu, turut kelihatan hadir memberi sokongan kepada calon-calon PN di pusat penamaan calon yang sama ialah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Gabungan parti pembangkang itu mencalonkan Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi DUN Hulu Kelang, manakala DUN Gombak Setia dan DUN Sungai Tua, masing-masing ditandingi Setiausaha PN Selangor Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Muhammad Hanif Jamaluddin.
Turut kelihatan berada di pusat penamaan itu adalah calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu serta Kedah diadakan secara serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Turut diadakan hari ini ialah penamaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu. – Bernama