Berita Utama

Bulan kemerdekaan: Rakyat diajak anjur pelbagai aktiviti sebagai tanda kebersamaan

Sebagai tanda kesyukuran selepas dibelenggu pandemik COVID-19

PUTRAJAYA, 1 Muharram 1444H, Sabtu – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengajak seluruh rakyat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda kesyukuran dan kebersamaan selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata setelah dua tahun dibelenggu pandemik COVID-19, kini rakyat negara ini perlu kembali menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM2022) dengan penuh rasa patriotik.

“Tahun ini negara akan meraikan sambutan HKHM2022 dalam suasana yang kita berharap ia diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan pelbagai acara.

“Berteraskan kepada konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran. Ini tanda kesyukuran kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Majlis itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menyertai program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bersama Jemaah Menteri dan lebih 15,000 peserta sejauh 2.7 kilometer. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button