Berita UtamaDunia

Trump dakwa ‘kebal’ COVID-19

Mahu teruskan kempen pilihan raya meski belum disahkan negatif

WASHINGTON, 24 Safar 1442H, Isnin – Presiden negara pembuli, Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, kononnya telah sembuh sepenuhnya daripada wabak COVID-19 dan tidak berisiko untuk memberi jangkitan kepada orang lain.

Trump di laman sosial Twitter tanpa mengemukakan sebarang bukti, mengatakan beliau kini ‘kebal’ atau imun dengan COVID-19.

Ciapan Trump itu bagaimanapun menerima amaran daripada Twitter kerana dipercayai mengandungi maklumat yang tidak tepat berkaitan COVID-19.

Kenyataan dari Trump muncul sehari selepas doktornya memberitahu beliau telah melakukan ujian yang menunjukkan tidak mempunyai risiko berjangkit. 

Namun, tidak dinyatakan secara langsung sama ada Trump telah disahkan negatif COVID-19.

“Saya berada dalam keadaan yang sangat baik,” kata Trump kepada rancangan Fox News, ‘Sunday Morning Futures.’

Trump, yang mengejar saingan Parti Demokrat, Joe Biden dalam tinjauan pendapat, berhasrat untuk kembali meneruskan kempen setelah tidak berbuat demikian selama lebih dari seminggu.  

Beliau malah merancang untuk pergi ke Florida hari ini, diikuti dengan demonstrasi di Pennsylvania dan Iowa esok dan Rabu.

Presiden AS yang menghabiskan tiga hari di hospital setelah mengumumkan dirinya positif COVID-19 dalam pemeriksaan pada 2 Oktober, mendakwa tidak lagi menggunakan ubat untuk COVID-19 dan sekarang kebal daripada jangkitan semula.

“Nampaknya saya imun, saya tidak tahu, mungkin lama, atau mungkin waktu yang singkat. Ia boleh menjadi seumur hidup,” kata Trump kepada Fox.

Bukti saintifik tidak dapat disimpulkan mengenai berapa lama individu yang telah pulih dari COVID-19 mempunyai antibodi dan dilindungi daripada jangkitan kedua.

Wabak coronavirus telah menjangkiti hampir 7.7 juta orang di Amerika Syarikat dan membunuh lebih dari 214,000 orang.  

Pentadbiran Trump menghadapi kritikan kerana pendekatannya yang lemah terhadap pemakaian pelitup dan penjarakan sosial.   

Sekurang-kurangnya 11 pembantu Trump telah disahkan positif COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button