Berita Utama

12,000 kekosongan kerja ditawarkan menerusi MyFutureJobs setakat 27 Ogos

Sektor pembuatan menawarkan jumlah peluang kerja paling banyak

ISKANDAR PUTERI, 29 Muharram 1443H, Selasa – Terdapat 12,000 kekosongan pekerjaan yang ditawarkan di seluruh Johor berdasarkan laman sesawang MyFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 27 Ogos lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata bagi Ogos sahaja, terdapat 9,931 kekosongan jawatan yang ditawarkan di seluruh negeri.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sektor pembuatan menawarkan jumlah kekosongan pekerjaan tertinggi iaitu 2,697 kekosongan.

“Justeru, warga Johor yang masih berusaha mencari pekerjaan digesa supaya peka dan merebut peluang yang telah tersedia,” katanya ketika sesi penggulungan pada hari terakhir persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini.

Beliau berkata Perkeso turut melaksanakan inisiatif dan berperanan sebagai pangkalan data bagi pengumpulan maklumat serta pusat informasi berkaitan sektor modal insan seperti jumlah penawaran pekerjaan, perangkaan kehilangan dan penempatan pekerjaan.

“Berdasarkan rekod Perkeso negeri Johor, bilangan individu di negeri ini yang hilang pekerjaan bagi tempoh Januari hingga 13 Ogos, 2021 adalah 3,915 orang.

“Pembuatan merupakan sektor yang menyumbang jumlah kehilangan pekerjaan yang tinggi iaitu melibatkan 1,278 orang,” katanya.

Mengenai kadar pengangguran di Johor, Mohd Izhar berkata lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal 2021 telah menyebabkan sektor industri, perniagaan dan juga perkhidmatan mengalami sekatan operasi dan seterusnya menyumbang kepada pengurangan penggunaan serta pengambilan pekerja.

Ini ditunjukkan menerusi statistik bilangan yang bekerja susut sebanyak 0.12 peratus kepada 1.67 juta orang pada suku kedua 2021 daripada 1.87 juta orang pada tempoh yang sama 2020, katanya.

Mohd Izhar berkata komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mencapai imuniti kelompok dengan segera telah memberi harapan baharu dan kesan positif kepada kehidupan rakyat dan sosioekonomi negeri susulan pembukaan semula serta kebenaran kembali beroperasi bagi beberapa sektor ekonomi.

“Berdasarkan laporan Survei Tenaga Buruh, kadar pengangguran di Johor pada suku kedua tahun ini telah menurun kepada 3.8 peratus dengan jumlah warga yang menganggur sebanyak 67,800 orang daripada 81,200 orang yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas dengan kadar pengangguran 4.6 peratus,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button