Berita Utama

Semua pihak diminta buka mata tolak budaya ambil arak

Jangan fikir keuntungan tapi kesannya kepada anak bangsa

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Rejab 1443H, Sabtu – Sebanyak 11 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sebulat suara menggesa semua pihak membuka mata dalam membanteras budaya pengambilan arak yang mampu memusnahkan negara.

NGO berkenaan terdiri Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Allieance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Selain itu, turut terlibat sama Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

Wakil ACCIN, Ir Mohd Jamaludin menyifatkan, masalah arak perlu ditangani terutama pihak berkuasa dalam menjaga keharmonian dan kemakmuran negara.

“Masalah arak ini bukanlah masalah politik dan perkauman sebaliknya masalah sosial yang memberi kesan terlalu banyak sehingga meruntuhkan negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya lagi, mereka yang mempunyai kuasa perlu bertindak dan tidak lagi boleh menutup mata dengan membiarkan ‘jenayah’ berkenaan berterusan.

“Jangan anggap ini sebagai bukan masalah kita, sebaliknya perlu sama bekerjasama untuk banteras bagi menyelamatkan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili NGO yang membantah penjualan arak sempena kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berpandangan, sudah tiba masa semua pihak mengubah normal minum arak kepada budaya bahaya minuman keras.

“Rakyat perlu sedar isu pengambilan arak berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang selama ini memandang remeh terhadap pengambilan bahan terlarang dan menganggap sebagai sesuatu normal yang tidak memudarat dan menjadi kesalahan,” katanya.

Katanya lagi, sikap terbuka perlu dihentikan sebaliknya diterapkan dengan memberi kesedaran secara berterusan tentang keburukan pengambilan arak.

Tegas beliau, usaha ini mungkin sukar mendapat sokongan kerana ada pihak berkepentingan yang memikirkan tentang keuntungan semata-mata, namun ia perlu demi generasi akan datang.

“Takkan nak tunggu kesan kepada ahli keluarga mereka baru nak bertindak, kita berharap sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang mampu mengubah budaya arak ini sehingga tidak diterima dalam masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, wakil PPMM pula menyokong tindakan membanteras melalui pendidikan dan perlu diteruskan sepanjang masa sebagai ‘ingatan’ sehingga ia diterima masyarakat.

Malah, wakil HALUAN, Mohd Sabri Md Yudin berkata, sepatutnya usaha ini sudah lama dilaksanakan, namun ada pihak tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius selain tiada kesatuan dalam menanganinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button