Berita UtamaDuniaUtama

Perisik Australia bimbang pengaruh China di universiti

MELBOURNE, 6 Safar 1439H, Khamis – Ketua perisikan domestik Australia memberi amaran kepada institusi pengajian tinggi negara itu mengenai ancaman campur tangan asing.

Merujuk pengaruh China yang menyamar di universiti negara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO), Duncan Lewis berkata, pengintipan dan gangguan asing adalah ancaman berbahaya.

Katanya, kuasa asing secara jelas cuba membentuk ideologi rakyat Australia, organisasi media dan pegawai kerajaan untuk mengembang matlamat politik negara mereka.

“Kita perlu sedar mengenai kemungkinan campur tangan asing di universiti kita.

“Ia boleh menimbulkan pelbagai isu. Ia berkemungkinan tingkah laku yang dibawa oleh pelajar asing, kakitangan konsular asing dengan pensyarah yang boleh mempengaruhi keadaan universiti,” katanya.

Lewis dilaporkan tidak menyebut pengbabitan China dalam dakwaannya, namun beliau dipercayai merujuk kepada pengaruh negara tembok besar itu.

China adalah rakan dagang terbesar Australia, didorong oleh Perjanjian Perdagangan Bebas China-Australia yang ditandatangani tiga tahun lalu.

Hubungan Australia-China diuji sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara itu sendiri menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan unilateral Beijing di Laut China Selatan yang dipertikaikan termasuk pembinaan pulau buatan.

Minggu lalu, Menteri Luar Australia, Julie Bishop menegaskan bahawa negara itu mengalu-alukan kedatangan pelajar antarabangsa dan tidak mahu melihat tindakan kebebasan bersuara membantah langkah penglibatan pelajar atau ahli akademik asing.

Menurut media negara itu, pencerobohan Beijing melalui universiti-universiti Barat telah mencetuskan dorongan sekutu terdekat Australia, termasuk AS, Britain, Kanada dan New Zealand merancang taktik yang lebih teratur.

Bagaimanapun, campur tangan asing merupakan kebimbangan utama ASIO termasuk ancaman keganasan yang meletakkan tekanan besar kepada agensi perisikan itu.- Agensi

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close