Berita Utama

Operasi di tapak tanah runtuh dihenti sementara

GEORGETOWN, 1 Safar 1439H, Sabtu – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak projek pembinaan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini dihentikan sementara 8 malam tadi.

Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Edwin Galan Teruki berkata, operasi dihentikan atas faktor keselamatan serta keadaan cuaca yang semakin gelap.

“Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kerana ia akan menyukarkan lagi operasi mengesan mangsa yang tertimbus.

Bagaimanapun kita akan memulakan semula operasi mencari mangsa pada 8 pagi esok,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Edwin berkata, Unit Pengesan K9 menemui satu topi keselamatan di kawasan runtuhan tanah yang dipercayai milik salah seorang mangsa.

“Pasukan K9 menemui topi itu pada 6.30 petang tadi dan tidak jauh dari lokasi mangsa ketiga ditemui, namun tiada mayat ditemui,” katanya.

Katanya, pihaknya percaya kebanyakan mangsa berada berdekatan antara satu sama lain.

Dalam kejadian dilapor berlaku pada jam 8.57 pagi itu, 14 mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan tanah dengan tiga daripadanya ditemui mati setakat ini.

Semua mangsa terlibat dalam kejadian itu yang dikatakan berlaku dalam masa satu minit terdiri daripada seorang rakyat Malaysia; seorang Pakistan; seorang Rohingya; dua Indonesia dan sembilan Bangladesh.

Dua mayat berjaya dikeluarkan setakat ini adalah rakyat Bangladesh dikenali sebagai Yunus dan Hossain manakala seorang lagi dari ethnik Rohingya dikenali sebagai Mamun. Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close