Berita Utama

Krisis Rohingya: ‘Myanmar, masyarakat antarabangsa gagal’

UNITED NATION, 29 Muharram 1439H, Khamis – Kerajaan Myanmar gagal menunaikan tanggungjawab antarabangsa dan melindungi etnik muslim Rohingya daripada kekejaman yang berlaku di Rakhine, kata dua penasihat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Menerusi kenyataan daripada penasihat khas PBB mengenai pencegahan pembunuhan beramai-ramai, Adama Dieng, dan penasihat khusus mengenai tanggungjawab melindungi, Ivan Simonovic, menegaskan masyarakat antarabangsa juga gagal terhadap krisis itu.

“Walaupun terdapat amaran yang dikeluarkan oleh kami dan banyak pegawai lain, kerajaan Myanmar gagal memenuhi tanggungjawab utama untuk melindungi penduduk Rohingya daripada kejahatan dan kekejaman.

“Masyarakat antarabangsa juga turut sama gagal bertanggungjawab dalam krisis ini,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Sejak akhir Ogos lalu, lebih setengah juta Rohingya melarikan diri daripada kempen ketenteraan di Rakhine, yang turut menerima kecaman oleh badan dunia itu.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa Myanmar menamatkan operasi ketenteraan di Rakhine, sekali gus membenarkan akses bantuan kemanusiaan dan pelarian Rohingya kembali ke negeri itu dengan selamat.

UNSC bagaimanapun tidak melakukan susulan dengan tindakan seperti mengenakan sekatan, langkah yang dibantah China dan Russia.

“Sekali lagi, kegagalan kami untuk menghentikan jenayah kejam yang membuatkan kami bersubahat,” kata penasihat berkenaan.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close