Berita Utama

Lelaki didakwa beri rasuah kepada penjawat awam

IPOH, 15 Muharram 1439H, Khamis – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menawar dan memberi suapan kepada seorang penjawat awam tahun lepas.

Lee Kee Heong, 63, membuat pengakuan itu di hadapan hakim S. Indra Nehru selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Untuk pertuduhan pertama, dia didakwa menawarkan suapan RM2,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen Perak Abdul Majid Mohamed sebagai dorongan untuk melepaskan warga Pakistan Qaiser Iftikhar kerana berada di Malaysia setelah tamat tempoh pas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Bandar Baru Seri Klebang di sini, kira-kira 6.07 petang, 17 Ogos 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi suapan RM1,000 kepada pegawai imigresen itu sebagai dorongan tersebut di Restoran McDonald’s Bandar Meru Raya di sini, kira-kira 6.30 petang, 18 Ogos 2016.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM R Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam Chiang Mei Wan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close