Berita UtamaDunia

Penyeksaan besar-besaran, Xinjiang kini ‘dystopian hellscape’

Lebih 50 etnik Uyghur kongsi pengalaman buruk di kem tahanan

LONDON, 1 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Wilayah Xinjiang telah mengalami ‘dystopian hellscape’, di mana etnik minoriti muslim Uyghur telah menghadapi penahanan dan penyeksaan besar-besaran yang sistematik dan teratur oleh China.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International berkata, lebih daripada 50 bekas tahanan Uyghur telah memberi gambaran sebenar dan berkongsi pengalaman ngeri dan buruk mengenai kehidupan mereka ketika ditahan pihak berkuasa China 2017.

Amnesty International berkata, pihaknya semalam telah menerbitkan laporan paling teliti mengenai kehidupan di kem tahanan.

Bukti yang dikumpulkan oleh Amnesty International memberi fakta untuk menyimpulkan bahawa China telah melakukan beberapa kekejaman termasuk penahanan, penyeksaan dan penganiayaan.

Penyiasatan itu telah dilakukan sejak akhir tahun 2019 hingga pertengahan tahun ini.

Terdahulu, CNN melaporkan bahawa Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Arab Saudi antara negara yang mengusir penduduk Uyghur muslim ke China.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan mengenai risiko yang bakal dihadapi kaum minoriti itu sekiranya mereka pulang ke negara tanah besar terbabit.

Etnik minoriti muslim Uyghur yang kebanyakannya menduduki wilayah Xinjiang telah mengalami tindasan etnik dan agama oleh kerajaan China dalam beberapa tahun terakhir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih daripada satu juta etnik itu dipaksa tinggal di kem tahanan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button