Berita UtamaUtama

Sedia peruntukan mencukupi untuk pusat tahfiz, bukan tutup

KOTA BHARU, 3 Muharram 1439H, Ahad – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan kerajaan supaya menyediakan peruntukan yang mencukupi terhadap pusat-pusat tahfiz di negara ini.

Menyelar pihak tertentu yang mencadangkan supaya operasi seluruh sekolah tahfiz ditutup susulan kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa 14 September lalu, beliau menyifatkan perkara itu sebagai tidak munasabah.

Mohd Amar berkata, kejadian yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah minggu lalu bukanlah berpunca daripada ciri keselamatan, sebaliknya melibatkan unsur khianat.

“Jika kita pentingkan isu keselamatan pun kalau ia melibatkan unsur khianat makan kejadian itu tidak dapat dielak dan akan berlaku,” katanya.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan jika kerajaan menyediakan pusat tahfiz yang dibiyai sepenuhnya, sudah pasti ibu bapa tidak akan mencari tahfiz swasta atau persendirian.

“Penubuhan pusat-pusat tahfiz swasta dan persendirian ini mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan ibu bapa. Ramai yang memilih pusat tahfiz sebagai pilihan untuk anak mereka melanjutkan pelajaran dalam ilmu agama,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Kejadian itu juga menyebabkan enam pelajar dan seorang orang awam cedera, yang mana tiga daripada mereka masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Susulan itu, polis menahan tujuh suspek remaja berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan tragedi tersebut.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close