Berita Utama

Mufti saran pengundi pilih pemimpin berdasarkan Siyasah Syariyyah

Jangan pilih pemimpin terbukti tamak, lebihkan kepentingan sendiri, kroni

GEORGE TOWN, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyarankan pengundi memilih calon pemimpin berdasarkan Siyasah Syariyyah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau turut menasihatkan pengundi supaya memilih bakal pemimpin dengan cermat.

“Jangan memilih pemimpin yang diketahui sebagai pengkhianat kepada negara, agama dan rakyat.

“Selain itu, jangan memilih semula orang yang terbukti tamak kepada kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni dengan mengabaikan nasib rakyat.

“Paling penting, jangan memilih calon daripada kalangan yang menyeru atau memperjuangkan maksiat seperti pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Sebaliknya, beliau berkata, pengundi perlu memilih pemimpin yang amanah, berintegriti, tidak rakus kepada harta benda selain tidak mengambil kesempatan terhadap jawatan dan kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

Katanya, pemimpin yang beriman, tidak mengabaikan kewajipan agama, taat beribadah, berakhlak mulia serta menghindari perbuatan-perbuatan maksiat patut menjadi pilihan para pengundi.

“Calon yang bakal dipilih juga perlu seorang yang ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat dan bersedia untuk membela nasib rakyat serta berjuang mencapai kepentingan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Salim juga memberi panduan dalam mengangkat pemimpin muda tanpa meminggirkan pemimpin senior mengikut perspektif Islam.

“Kita perlu mengikut Rasulullah ﷺ yang menggandingkan antara kedua-dua golongan ini iaitu pemimpin muda dan senior.

“Antara contoh adalah Baginda melantik golongan senior seperti Abu Bakar dan Umar sebagai pemimpin yang sentiasa dirujuk untuk mendapat nasihat dan pandangan tentang pelbagai isu berkaitan umat dan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, gabungan pemimpin muda dan senior amat membantu kerana masyarakat memerlukan pemimpin berpengalaman dan baru secara serentak.

“Golongan senior mempunyai pengalaman yang luas, kematangan fikiran, kebijaksanaan, ketenangan dalam menghadapi cabaran dan kekusutan, berpandangan jauh di samping mendapat penghormatan masyarakat.

“Sementara itu, golongan muda juga ada keistimewaan yang mesti diakui dan dimanfaatkan untuk kebaikan dan kemajuan negara antaranya memiliki semangat juang yang kental, wawasan yang tinggi, kekuatan tekad dan azam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button