Berita Utama

Cadangan pindaan Akta 550 disambut baik pengurusan tahfiz

KULAI, 30 Zulhijjah 1438H, Khamis – Cadangan pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz tertakluk di bawah akta itu, disambut baik warga pengurusan tahfiz.

Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid, Mohd Muzlim Salleh berkata sebarang pindaan yang membawa kebaikan disokong sepenuhnya oleh pihak madrasah.

“Bila pindaan itu membawa kepada kebaikan dan penyelesaian, maka ia adalah satu kebaikan dan kita akan menyokong. Tetapi kalau pindaan itu lebih kepada untuk menutup madrasah tahfiz, itu adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan kerana itu bukanlah satu penyelesaian… tetapi melarikan diri daripada masalah.

“Untuk selesaikan masalah, boleh pinda sesuatu akta dengan memberikan penyelesaian alternatif yang terbaik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di madrasah berkenaan pada sesi taklimat kebakaran anjuran Unit Keselamatan Kebakaran Hospital Pakar KPJ Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz yang bermesyuarat di Putrajaya dua hari lepas mengenai pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pentadbiran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz tertakluk kepada akta berkenaan.

Mohd Muzlim menambah sebarang pindaan juga mungkin boleh mempertimbangkan untuk memasukkan bantuan atau peruntukan berbentuk geran atau subsidi kepada madrasah tahfiz swasta yang telah berdaftar selain turut memberi khidmat nasihat supaya mereka seiring dengan perkembangan pendidikan semasa.

Dalam taklimat selama 45 minit itu, 111 pelajar dan kakitangan madrasah itu diterangkan antara lain mengenai jenis kebakaran, cara penggunaan alat pemadam api dan cara menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

Mereka juga diajar cara menggunakan pemadam api dengan betul dalam sesi demonstrasi memadam api selepas itu.
Selain itu, Unit Kebakaran Hospital Pakar KPJ Johor turut membuat pemeriksaan dari segi aspek keselamatan mencegah kebakaran di madrasah berkenaan dan pihak hospital turut menyumbangkan 15 unit alat pemadam api kepada madrasah itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor Zabidi Abdul Razak berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 35 buah madrasah tahfiz sekitar Johor Bahru bagi memberi taklimat dan sumbangan serupa.- Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close