Berita UtamaUtama

Islam tak halang wanita berkeluarga capai impian belajar ke peringkat lebih tinggi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Zulhijjah 1438H, Jumaat – Semua wanita bekeluarga yang mempunyai minat serta cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi perlu meneruskan impian itu, kata Ketua Wanita Isma Ipoh Ustazah Nornajwa Ghazali.

Ini kerana, jelas beliau, Islam tidak pernah menghalang wanita untuk berbuat demikian.

Malah, beliau berkata, sekiranya kemahuan itu telah ada, apa yang tinggal hanyalah perancangan yang baik tanpa mengabaikan perkara-perkara wajib seperti mengurus rumahtangga dan dakwah.

“Bagi wanita yang sudah berumahtangga, redha suami, masa bersama dengan keluarga, hak didikan anak-anak, dan timbunan tugasan sebagai seorang pelajar memerlukan kebijaksanaan.

“Perjuangan mengejar PhD diibaratkan seperti mencabar diri sendiri untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

“Tiada yang mudah jika mahu berjaya. Pastinya kena bersiap siaga untuk berkorban, berjaga malam, dan bersedia untuk meninggalkan anak, suami, dan rumahtangga,” katanya seperti yang dipetik daripada tulisan Nurul Husna Che Hamzah di laman wanitaisma.net.

Ustazah Nornajwa sendiri yang baru sahaja menyelesaikan pengajiannya di peringkat PhD setelah lima tahun bertungkus lumus, mengatakan bahawa ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga.

Beliau sebelum ini telah mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat MA & PhD di Universiti Malaya (UM).

Katanya, keinginan untuk meyambung pelajaran itu sudah ada sejak selesai pengajian di Mesir dan keinginan itu semakin tinggi apabila sudah bekerja kerana ingin membina kepakaran dalam bidang yang diceburi.

Namun, beliau yang kini bertugas sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru, Ipoh berkata, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana tuntutan keluarga, suami, dan anak-anak.

Pun begitu, apabila anak-anak sudah besar, hasrat itu disambung kembali.

“Alhamdulillah, Allah mempermudahkan jalan kerana saya berjaya mendapat cuti dan tajaan biasiswa daripada KPM.

“Sokongan keluarga juga amat penting. Saya bersyukur kerana suami memainkan peranan seperti seorang penyelia di rumah apabila sering bertanya tentang perkembangan saya dalam penulisan tesis.

“Anak-anak juga memahami situasi Ummi yang selalu bergelumang dengan tesis.

“Alhamdulillah sepanjang 5 tahun ni, saya tidak pernah ambil cuti dari kerja-kerja dakwah. Percayalah, jika ada kemahuan, Allah akan susunkan jalan kejayaan buat kita,” katanya.

Besar harapan beliau agar kejayaan peribadi yang telah ditempa ini akan menjadi wasilah dan pemangkin untuk membina kecemerlangan diri dan ummah ke arah jalan yang diredhai Allah.

“Pergantungan kepada Allah adalah aspek yang sangat penting. Alhamdulillah, doa suami, anak-anak, bapa dan keluarga mertua, rakan sekerja dan akhawat Isma adalah kekuatan saya untuk menghabiskan pengajian ini,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close