Berita UtamaKomunitiUtama

Yayasan Ikhlas edar 9,100 bungkusan daging korban

Oleh Syafiq Syahmi Sazali

BANDAR BARU BANGI, 21 Zulhijjah 1438H, Selasa – Yayasan Ikhlas sebuah pertubuhan peduli dan prihatin, telah menjayakan ibadah korban dan akikah yang melibatkan 128 ekor lembu dan 23 ekor kambing di enam buah negara iaitu Bangladesh, Kemboja, Thailand, Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia.

Ibadah berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 9,100 warga miskin, anak-anak yatim, pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh – Myanmar, pelajar di pondok dan madrasah, masyarakat mualaf di Sabah dan Sarawak serta masyarakat di kawasan pedalaman yang jarang sekali merasai daging lembu atau kambing.

Program Ibadah Korban dan Akikah di Bangladesh diketuai oleh Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Iskandar telah turun padang ke enam daerah iaitu Dhaka, Kuhstia, Dinashpur, Khluna, Nageswari Kuligram dan kem pelarian rohingya di sekitar Teknaf. Sebanyak 69 ekor lembu dan 1 ekor kambing disembelih dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat di sana.

Daging lembu diagihkan kepada masyarakat di kawasan setempat dan tiada majlis kenduri dilakukan seperti mana adat kebiasaan di Malaysia kerana daging seratus peratus diagihkan kepada penduduk yang terdiri daripada fakir miskin tegar. 

Purata wakil keluarga hanya menerima hanya 1.5 kilogram sahaja kerana terlalu ramai bilangan penerima daging korban. Hasrat YI ingin mengagihkan 2 kilogram setiap penerima tidak kesampaian. Oleh hal demikian, wakil penduduk berpendapat lebih baik ramai yang dapat merasa daging walaupun hanya dalam kuantiti sedikit. Tulang juga tiada yang tersisa, semua habis diagihkan termasuklah kepala dan belulang.

Sementara itu, di Kemboja ibadah Korban dan Akikah dilakukan di tiga tempat yang mengambil masa perjalanan hampir enam jam dari Phnom Penh iaitu Kampung Senjumren di wilayah Tboung Khmom, Kampung Olung di wilayah Kratie dan Kampung Pursat di wilayah Cokhlong. Kesemua kawasan ini dipilih selepas tinjauan Yayasan Ikhlas yang dijalankan pada bulan Mac mendapati kesusahan yang dialami oleh masyarakat di sini.

Saudara Fathil Aqil yang mengetuai rombongan seramai 10 orang menuju ke kawasan-kawasan sembelihan dan mengagihkan daging korban kepada wakil setiap kampung yang berkumpul di satu tempat penyembelihan.

Di Aceh, Indonesia pula, ibadah Korban dan Akikah dilakukan di pondok yang dibina Yayasan Ikhlas selepas peristiwa tsunami 11 tahun yang lalu iaitu Pondok Yatim Tahfiz Ar Raudhah, Lhoksuemawe.

Sebanyak 3 ekor lembu dan 10 ekor kambing disembelih di perkarangan pondok. Daging lembu dan kambing diagihkan kepada pondok (makanan pelajar pondok) dan kepada penduduk miskin sekitar Lhoksuemawe.

Misi di Thailand pula, 4 ekor lembu disembelih di Pulau Puju (tiga) dan Pulau Berseri (satu). Ibadah ini dijalankan secara gotong-royong yang melibatkan masyarakat Muslim di sana dan turut diadakan sambutan perayaan Aidiladha di malam hari raya pertama.

Salah satu sebab utama Yayasan Ikhlas memilih Makkah untuk menjalankan Ibadah korban dan akikah ialah harga kambing yang murah berbanding kawasan dan negara lain. Hal ini juga dapat menggalakkan ramai umat Islam di Malaysia untuk melaksanakan korban atau akikah bersama Yayasan Ikhlas.

Ibadah korban di Makkah al Mukaramah tahun ini dapat mengumpulkan 11 ekor kambing dan daging tersebut diagihkan kepada masyarakat miskin di empat kawasan terpilih iaitu di Nakasah, Umluj, Toif dan Tarbiah.

Di Malaysia pula, ibadah korban dan akikah dilakukan di Sabah, Sarawak dan Kedah yang melibatkan 24 ekor lembu.

Sebanyak tiga kawasan perkampungan mualaf di Sabah terpilih sebagai kawasan sasaran untuk menjalankan ibadah korban tahun ini iaitu di Kampung Batanggon Laut Paitan, Kampung Kadayan Pitas dan Kampung Salimpadon Darat Pitas.

Di Sarawak pula, ibadah korban dijalankan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melibatkan 3 ekor lembu. Penyembelihan dibuat di kawasan perkampungan mualaf di Miri, Sri Aman dan Mukah.

Ibadah korban dan akikah di Kedah pada tahun ini melibatkan 18 ekor lembu, di mana lima ekor lembu disembelih di Kampung Jenalek, Kupang, 10 ekor di Kampung Gulau dan Kampung Landai, Sik, serta 2 ekor lagi disembelih di Kampung Hutan Pulai, Jalan Langgar, Alor Setar.

Ibadah korban dan akikah di Kedah ini dijalankan dengan kerjasama Surau Al Amin Dataran Maybank, Institut Jantung Negara (IJN) dan Masjid Al Ikhlas, Seksyen 13 Shah Alam.

“Program ini membolehkan kita untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan termasuklah fakir dan miskin. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seIslamnya.

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan lebih banyak lagi penyertaan daripada masyarakat di Malaysia demi membantu saudara-saudara kita yang tidak berkemampuan sama ada di dalam dan luar negara,” kata Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli Ramli.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Hj. Kamaruddin Kassim berkata, secara keseluruhannya lebih 9,100 bungkusan daging telah diagih-agihkan sepanjang program yang dijalankan pada tahun ini.

“Jumlah yang diperolehi adalah lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya dan ini semua berjaya dicapai hasil daripada kepercayaan semua rakyat Malaysia terhadap usaha Yayasan Ikhlas,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close