Berita UtamaUtama

‘Jangan sewenangnya ganti, batal tanah rizab Melayu’: MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 16 Zulhijjah 1438H, Khamis – Keluasan tanah berstatus Rizab Melayu di Johor meningkat kepada 555,527.859 hektar sehingga 31 Julai lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelas beliau, keluasan itu meningkat sebanyak 251.844 hektar, berbanding 555,276.015 hektar yang diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu.

Sehubungan itu, Khaled menegaskan tanah yang diwartakan ataupun yang diluluskan menjadi tanah rizab Melayu akan kekal selamanya menjadi tanah rizab Melayu.

“Tanah ini tidak boleh dibatalkan dan digantikan dengan sewenang-wenangnya. Meskipun Johor menduduki tempat yang pertama dari sudut menarik pelaburan dalam dan luar negara ke negeri ini, kepentingan untuk memelihara rizab Melayu ini tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri menetapkan bahawa mana-mana tanah yang hendak dibuat pembatalan hendaklah digantikan dengan tanah yang sifatnya adalah sama atau lebih baik dari segi keluasan dan nilaian,” katanya pada sidang Dewan Negeri Johor yang ke-13 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit (BN), Ayub Jamil berhubung jumlah keluasan tanah Rizab Melayu dan perancangan kerajaan negeri bagi menambah keluasan itu.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG), daerah Kota Tinggi mencatatkan keluasan tanah rizab tertinggi (128,255.339 hektar), diikuti Muar (80,064.313 hektar) dan Segamat (62,090.819 hektar).

Jelas Khaled lagi, untuk menjaga pemilikan tanah rizab Melayu dan memastikan sentiasa bertambah, pihaknya memutuskan bahawa mana-mana tanah kerajaan yang dikurniakan kepada orang Melayu adalah disyaratkan untuk dijadikan sebagai tanah Pegangan Melayu mengikut Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu 1936.

Katanya, melalui seksyen ini, kemasukan rizab Melayu perlu melalui proses pewartaan sebanyak dua kali iaitu kali pertama hebahan kepada awam dan pewartaan kali kedua bertujuan memuktamadkannya.

“Bagi memastikan tanah yang dikurnia tetapi belum diwartakan sebagai rizab Melayu terpelihara, pihak pentadbiran tanah mengambil pendekatan dengan membuat endosan kaveat pendaftar ke atas tanah berkenaan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close