DuniaEropahUtama

Selepas janji Erdogan, Turki mula hantar bantuan kepada Rohingya

ISTANBUL, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Sebagaimana dijanjikan Presiden, Recep Tayyip Erdogan untuk menanggung kos pelarian muslim Rohingya, Turki hari ini mengumumkan penghantaran pertama bantuan akan dibuat setelah rejim Myanmar memberi kebenaran.

Pengumuman penghantaran bantuan ke barat daya Myanmar, di mana ratusan etnik muslim Rohingya dibunuh selepas tentera rejim negara itu bertindak ganas, dibuat tatkala kira-kira 125,000 pelarian Rohingya memenuhi sempadan Myanmar-Bangladesh dalam tempoh 10 hari lalu.

Jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin yang menyifatkan keganasan terhadap muslim Rohingya sebagai pembunuhan beramai-ramai berkata, penghantaran bantuan itu diluluskan selepas Presiden bercakap menerusi telefon dengan pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi semalam.

Sebagai permulaan katanya, kira-kira 1,000 tan makanan, pakaian dan ubat-ubatan akan dihantar menggunakan helikopter tentera.

Katanya, Myanmar memberi kebenaran kepada pegawai agensi bantuan Turki (TIKA) untuk memasuki negara itu dan mengedarkan bantuan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Rakhine.

Suu Kyi berdepan kecaman hebat seluruh dunia, khususnya daripada negara yang majoritinya umat Islam, untuk menghentikan kekejaman ke atas muslim Rohingya.

Tunjuk perasaan meletus di Chechnya, Turki, sebahagian Eropah, Malaysia dan Indonesia berikutan tindakan askar rejim Myanmar yang mendapat sokongan kumpulan militan sami Buddha, terhadap etnik minoriti muslim Rohingya.

Erdogan memberitahu Suu Kyi bahawa keganasan terhadap etnik muslim Rohingya adalah pelanggaran kepada hak asasi manusia dan umat Islam seluruh dunia mengambil berat mengenainya, kata sumber Istana Presiden. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close