Berita Utama

Sabah dijangka mula vaksin remaja akhir Oktober

300,000 dos vaksin CanSino akan dihantar ke Malaysia bulan ini

KOTA KINABALU, 28 Muharram 1443H, Isnin – Sabah dijangka akan mula memberi vaksin kepada remaja sekitar akhir Oktober setelah sasaran imuniti kawanan (herd immunity) dewasa tercapai, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat negeri bersama dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada hari ini, beliau mengatakan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk menghantar sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 kepada Sabah bulan ini.

“Dengan penghantaran ini, kami yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian hingga 60,000 hingga 70,000 sehari.

“Kami masih mengekalkan sasaran 60 peratus populasi dewasa untuk divaksin sepenuhnya pada akhir September, dan 80 peratus pada akhir Oktober.

“Sebaik sahaja kita mencapai sasaran populasi orang dewasa, atau hampir 80 peratus pada bulan Oktober, saya memaklumkan pada Menteri Besar bahawa kita boleh mula memvaksinasi remaja di Sabah,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.

Sementara itu, bercakap mengenai sama ada Sabah akan menerima lebih banyak vaksin CanSino, Khairy berkata, 100,000 dos dijadualkan akan dihantar ke Malaysia pada minggu depan dan 200,000 lagi pada akhir bulan.

“Jadi kita hanya akan mendapat 300,000 untuk bulan September kerana bekalan terhad kerana permintaan global, dan akan membuat pengedaran ke Sabah dengan sewajarnya.

“Pada bulan Oktober, kita mengharapkan lebih banyak dos vaksin CanSino, dan tentunya Sabah akan menjadi negeri yang diberi keutamaan untuk vaksin satu dos ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button