Tun M syor tambat ringgit seperti waktu krisis kewangan 1997
'PM hanya pandai beri kenyataan, tetapi tidak bertindak'
Oleh Zuhayati Yazid
SHAH ALAM, 13 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mengambil langkah menambat nilai ringgit seperti yang pernah dilakukan sewaktu krisis kewangan pada tahun 1997 dan 1998.
Meskipun cadangan itu bukan kali pertama disuarakannya, beliau berkata, kerajaan berpendapat bahawa langkah berkenaan bertentangan amalan antarabangsa.
Bagaimanapun, menurut Dr Mahathir, amalan antarabangsa bukan selalu menguntungkan negara, maka kerajaan sewajarnya menjaga dahulu kepentingan Malaysia.
“Sebab itu kita perlu tetapkan nilai mata wang kita supaya tidak naik turun hasil penjualan dan pembelian mata wang ringgit.
“PM kini hanya pandai memberi kenyataan sahaja, tetapi tak buat dan tak bertindak. Nak selesai itu, nak percepat ini tapi buat apa? Tak buat apa-apa pun,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan, kejatuhan mata wang ringgit sebagai isu serius kerana menyebabkan kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Kalau dulu RM100 (beli barang), sekarang kerana ringgit jatuh nak beli barang yang sama kena bayar lebih.
“Ini bermakna rakyat kekurangan wang, ini adalah kesan kejatuhan nilai mata wang ringgit,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir menghadiri forum ‘Minda Negarawan: Malaysia Baharu Impian Bersama’ sempena Sidang Nasional BERJASA 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), hari ini.
Dalam majlis itu, BERJASA turut melancarkan Buku Impian Nasional BERJASA 2040, sebuah pelan tindakan BERJASA yang komprehensif pada skala nasional, bagi persediaan menangani isu-isu nasional.
Buku itu menekankan enam teras kenegaraan yang dikenalpasti bagi menangani segala permasalahan utama di Malaysia dan sejajar sasaran Impian Nasional BERJASA 2040.
Enam teras itu adalah Teras Identiti Nasional & Perpaduan, Teras Perlembagaan & Perundangan, Teras Politik & Kepimpinan, Teras Ekonomi & Sara Hidup, Teras Pendidikan & Modal Insan dan Teras Sains, Teknologi & Alam Sekitar.