Berita UtamaUtama

Dana 1MDB: Menteri Kewangan Kedua tak patut bohongi rakyat

BANGI, 16 Zulkaedah 1438H, Rabu – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak sepatutnya berbohong kepada rakyat Malaysia, bahawa kerajaan tidak pernah menggunakan dana awam bagi membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membayar hutangnya.

Ditubuhkan pada 2009 oleh Datuk Seri Najib Razak sebaik menduduki kerusi Perdana Menteri, 1MDB awalnya bertujuan membantu kerajaan mengetuai inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebuah negara membangun yang kompetatif, tetapi kini dilingkari pelbagai skandal, termasuk kehilangan berbilion-bilion ringgit dan hutang.

Terbaharu, 1MDB gagal membayar separuh hutang kepada firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), apabila tempohnya berakhir pada 31 Julai lalu. IPIC kemudian memberi tempoh selama lima hari bekerja kepada 1MDB membayar RM2.56 bilion yang berakhir semalam.

Bagaimanapun, 1MDB masih gagal membayarnya dan IPIC sekali lagi memberi peluang sehingga 31 Ogos ini kepada 1MDB untuk berbuat demikian, tetapi bergantung kepada bayaran tidak kurang daripada RM1.33 bilion daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar tidak lewat 12 Ogos ini.

Jumlah keseluruhan pinjaman 1MDB kepada IPIC yang dijamin kerajaan Malaysia ialah RM5.16 bilion dan RM2.58 bilion lagi perlu dibayar hujung tahun ini.

1MDB bukan sahaja berhutang kepada IPIC, tetapi juga beberapa bank lain dan dana awam.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bernama semalam, Johari berkata, kerajaan tidak pernah memberi dana awam kepada 1MDB untuk melangsaikan hutang-hutangnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua berkata, Johari berfikir seolah-olah rakyat Malaysia bodoh dan dungu untuk mempercayai kata-katanya yang ibarat tong sampah, bagi menyembunyikan skandal 1MDB.

Sebaliknya, Pua berkata, Kementerian Kewangan telah mengambil pelbagai langkah untuk menyelamatkan 1MDB sejak dua tahun lalu membabitkan berbilion-bilion ringgit wang pembayar cukai.

“Antara contoh jelas ialah pinjaman RM800 juta daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan RM2.4 bilion sukuk Bandar Malaysia di mana Kementerian Kewangan mengambil alih projek TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd.

“Ketua Audit Negara melaprokan hampir semua hasil pinjaman 1MDB tidak pernah digunakan untuk pembangunan dua projek itu. Oleh itu, apabila Kementerian Kewangan setuju mengambil alih projek dan bertanggungjawab terhadap liabilitinya, secara tidak langsung Kementerian Kewangan telah melangsaikan RM3.2 bilion hutang 1MDB,” katanya.

Selain itu, Phua berkata, apabila 1MDB menjual 60 peratus kepentingannya dalam Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd, mereka memperoleh dan mungkin membelanjakan RM741 juta deposit yang dibayar ketika perjanjian jual beli itu ditandatangani pada Disember 2015.

“Bagaimanapun, apabila Kementerian Kewangan membatalkan penjualan itu kerana kegagalan IWH membuat bayaran penuh, kementerian itu yang terperangkap untuk membayar balik RM741 juta deposit kepada konsortium berkenaan. Jika deposit itu perlu dibayar balik ia mesti dilakukan oleh 1MDB, bukan pembayar cukai,” katanya.

Katanya, Johari tidak sepatutnya berbohong secara terang-terangan dan tidak boleh mengetepikan peranan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat Malaysia.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close