Berbasikal dari London ke Arab Saudi tunai haji, kumpul dana untuk Syria

LONDON, 23 Syawal 1438H, Isnin – Dengan hanya berbasikal, lapan pemuda berjiwa besar dan bersemangat waja semalam mula bergerak dari London ke Arab Saudi untuk menunaikan haji.

Selain untuk mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu, mereka dari kumpulan Human Aid yang berpejabat di Britain turut berharap dapat mengumpul derma £1 juta (RM5.6 juta) sepanjang perjalanan ke Madinah.

Dana yang dikumpul sepanjang misi dinamakan ‘Kayuhan Haji’ akan didermakan kepada mangsa perang saudara di Syria.

Ketua misi ini, Abdul Wahid yang memeluk Islam pada pada 2006 berkata, mereka akan menggunakan perjalanan ini untuk mendapatkan derma sebanyak mungkin bagi membantu mengembalikan martabat yang telah diambil dari rakyat Syria sejak enam tahun lalu.

“Kami akan kumpul dnaan untuk bantu dari aspek bekalan perubatan dan makanan untuk orang awam yang terperangkap dalam Syria,” katanya.

Menceritakan perjalanan misi ini katanya, mereka terdiri daripada tiga warga Britain keturunan Bangladesh, empat keturunan Pakistan dan seorang penduduk asal Britain, dan bukanlah penunggang basikal profesional.

Berbasikal lebih dari 2,000 batu, mereka akan melepasi lapan negara. Bertolak dari Timur London dan akan berkayuh ke New Haven sebelum menaiki ferri ke Deippe di Perancis.

Dari situ, mereka akan berkayuh ke Paris, menuju ke Swizterland, Jerman, Austria, Liechetenstein dan memasuki Itali.

Di Venice, mereka akan menaiki feri menuju ke Igoumenitsa di Greece dan berkayuh ke Athens untuk menaiki pesawat ke Iskandariah di Mesir.

Dari bandar pelabuhan tepi pantai itu, kumpulan terbabit akan ke Hurgadha sebelum menaiki feri ke Yanbu di Arab Saudi dan akhirnya berkayuh ke Madinah.

Dari Madinah, mereka perlu mengambil bas ke Mekah kerana sekatan terhadap pergerakan ketika haji yang dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi.

Mereka hanya akan berkayuh pada siang hari dengan jangkaan misi akan mengambil masa dua bulan untuk sampai ke destinasi. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *