Alumni perlu sumbang semula kepada sekolah, kata Dr Sim

Gambar hiasan

KUCHING, 23 Syawal 1438H, Isnin – Alumni sekolah perlu membantu sekolah masing-masing serta memajukan dan menjaga kebajikan pelajar, terutama yang kurang bernasib baik, kata Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.

“Sebagai bekas pelajar, anda bertanggungjawab membantu dan menjaga kebajikan pelajar yang memerlukan pertolongan serta memastikan tiada pelajar yang terpaksa berundur daripada menuntut ilmu semata-mata kerana menghadapi kekangan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Michael Tiang, setiausaha politik kepada Ketua Menteri, pada majlis perjumpaan dan makan malam alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Green Road (GRSS) di sini malam tadi.

Dr Sim berkata alumni perlu membantu mewujudkan suasana kondusif di sesebuah sekolah, di samping menyumbang kembali kepada masyarakat dan berfungsi sebagai model peranan bagi pelajar.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-52 sekolah itu, beliau menyeru semua bekas pelajar GRSS supaya memperbaharui tekad masing-masing untuk memastikan sekolah itu terus cemerlang serta membantu memajukan pelajarnya, terutama yang kurang berkemampuan.

“Semua bekas Greenian amat perlu menyertai dan menyokong alumni ini serta meningkatkan komitmen dan kerjasama kita untuk melahirkan sebuah komuniti Alumni GRSS yang dihormati dan menumpukan kecintaan kepada negara ini,” katanya.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur majlis perjumpaan dan makan malam Alumni GRSS Dr Haseanti Hussein berkata pihak alumni menyediakan platform untuk menyatukan semua bekas pelajar Greenian bagi membolehkan mereka menyumbang kembali kepada sekolah berkenaan dan masyarakat.

“Alumni ini memberi peluang kepada kita untuk mewujudkan rangkaian dan setiap orang mempunyai peranan penting untuk membina negara ini,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, yang juga penasihat Alumni GRSS, dan Pengetua SMK Green Road Catherine Ritikos@Fizah Abdullah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *