Saya bukan pengecut tak pulang ke India tetapi ikut sunnah Rasulullah: Dr Zakir Naik

Dr Zakir Naik berbuka puasa dengan Presiden Hal Ehwal Awam Dua Masjid Suci yang juga Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abdur Rehman Sudais di Masjidil Haram, semalam.

BANGI, 24 Ramadan 1438H, Isnin – Kami sukar mengetahui di mana anda berada. Kami membaca khabar angin di media sosial. Maaf, tapi dikatakan anda sedang diburu. Jadi kenapa anda diburu? Demikian persoalan diajukan seorang pengacara sebuah program kepada pendakwah terkenal Dr Zakir Naik.

Klip video program berkenaan tersebar di media sisoal, khususnya di Arab. Tidak pasti bila dan di mana temubual itu diadakan, tetapi dipercayai ia dibuat di Arab Saudi, kerana ketika ini Dr Zakir Naik dikatakan berada di Tanah Suci Makkah.

Menjawab persoalan itu, Dr Zakir berkata, jawapan terbaik yang boleh diberikan adalah kerana popularitinya yang telah berdakwah lebih daripada 25 tahun di India dan ceramahnya boleh dibaca dalam media-media sosial dan ditonton dalam youtube.

“Saya tahu saya telah hidup di India yang tidak terlalu rapat dengan Muslim dan saya telah berdakwah, berfikir dan yakin bahawa suatu hari akan ada masalah. Itulah alasan saya membayangkan sebaik mungkin.

“Dan baru-baru ini, tiga tahun yang lalu pemerintah yang baharu telah berkuasa, dan India mempunyai Perdana Menteri baharu iaitu Narendra Modi. Dan kami tahu sekitar 15 tahun lalu ketika dia menjadi Ketua Menteri Gujarat,ada banyak pertubuhan bukan kerajaan, yang memberikan laporan bahawa dia bertanggungjawab ke atas pembunuhan lebih 2,000 umat Islam, menjadikannya pembunuhan ke atas Muslim yang dirancang kerajaan.

“Sehingga ada kes yang dilaporkan terhadapnya di pelbagai negara dan dia tidak diberikan visa ke Amerika Syarikat, Britain dan negara lain selama beberapa dekad. Selepas dia memenangi pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri, semua kesangsian terhadapnya dihapuskan,” katanya dalam temu bual itu.

Katanya, bergantung kepada siapa diri anda, jika anda terpilih untuk mengadakan hubungan maka mereka bersedia menghapuskan semuanya dan Narendra Modi melawat banyak negara, termasuk negara Islam untuk menjalin hubungan dalam tahun-tahun pertama dia menjadi Perdana Menteri.

“Dan telah diketahui bahawa partainya (parti Hindu nasionalis – Bharatiya Janata Party (BJP)) menentang umat Islam. Dan kami menjangka ini akan terjadi, dan dia menunggu untuk mendapatkan beberapa alasan untuk menghentikan usaha saya.

“Pada 27 Ramadan tahun lalu, iaitu 1 Julai berlaku serangan pengganas di Dhaka. Enam pengganas membunuh kira-kira 20 orang asing. Dan salah seorang pengganas itu kebetulan peminat yang menjadi rakan Facebook saya. Jadi ada artikel kecil di akhbar Bangladesh bahawa salah seorang pengganas adalah rakan Facebook Dr Zakir Naik,” katanya.

Dr Zakir berkata, beliau mempunyai kira-kira 16.6 juta rakan Facebook dan pengganas itu adalah salah seorang daripada 16.6 juta peminatnya, termasuk 4.5 juta dari Bangladesh.

“Dan berita ini telah keluar beberapa kali sebelumnya. Hampir semua Muslim di dunia, kerana populariti Peace TV, mempunyai 200 juta penonton. Ketika anda menangkap seorang Muslim, kemungkinan besar dia mengenali saya.

“Jadi bahkan serangan pengganas yang berlaku di Glasgow, Newark, Australia, ketika mereka menangkap Muslim, mereka telah melihat video saya. Tapi hal itu tak pernah menjadi masalah. Jika anda bertanya kepada Muslim manapun, dia harus mengikuti ajaran Muhammad SAW. Jadi apakah anda meletakkan kesalahan yang dilakukannya kepada Muhammad SAW. Tidak,” katanya.

Katanya, media India telah memainkan isu itu sehingga di luar batasan dan berita itu menjadi tajuk utama akhbar pada 3 dan 4 Julai, bahawa Dr Zakir Naik memberi ilham kepada pengganas.

“Jadi seakan-akan segalanya sudah dirancang. Siang dan malam berita saya tersebar ke seluruh dunia. Sehingga menjadi trend nombor satu di Twitter, Facebook. Alhamdulillah banyak pertubuhan Muslim dari seluruh India membantah di Bangalore, Hyderabad, Kashmir, kerala dalam jumlah besar.

“Dan satu hal yang bagus.. masha-Allah..bahawa Muslim yang berbeza pandangan dengan saya, bahkan mereka juga membela saya dengan berkata mereka tidak setuju bahawa Dr Zakir Naik adalah pengganas. Hingga wujud pandangan berbeza daripada empat agensi pihak berkuasa India,” katanya.

Dr Zakir Naik menjawab soalan dikemukakan dalam program baru-baru ini.

Beliau berkata, di India sekarang ini orang Islam akan dihukum gantung di khalayak kerana dituduh memakan daging

“Mereka tidak memakan daging lembu, tetapi daging lain. Tapi polis berkata, “kami akan menyelidik apakah ini daging lembu atau bukan”. Tidak masuk akal. Anda menggantung seseorang di khalayak. Jadi sekarang di India sangat buruk. Saya bersyukur kepada Allah kerana Dia membawa kami keluar dari India pada saat yang tepat” katanya.

Mengenai siasatan terhadapnya, Dr Zakir berkata, beliau bersedia disiasat tetapi secara terbuka, bukan tertutup yang memberi peluang mereka mengancam dan menyeksanya.

Katanya, lebih sebulan lalu India juga meminta Interpol menyenaraikannya dalam ‘senarai merah’ setelah tiga kali beliau tidak melayan permintaan mereka.

Beliau berkata, menurut laporan media, pemerintah India telah memaklumkan kepada Interpol mengatakan bahawa Dr Zakir Naik mempromosikan keganasan, harus diletak dalam senarai merah dan mana-mana negara yang menemuinya diminta menangkap dan menghantarnya ke India.

Beliau juga berkata, banyak pemerintahan di dunia sekarang ini memenangi pilhan raya dengan menentang Islam.

“Contohnya apa yang terjadi di Amerika Syarikat. Semakin mereka menentang Islam, semakin mereka disokong. Itu yang terjadi di India. Beberapa bulan yang lalu, pilihan raya diadakan di Uttar Pradesh, yang merupakan negeri terbesar di India. Dan salah seorang calonnya adalah pendakwah Hindu.

“Dalam kempen pilihan raya itu dia secara terbuka telah menyatakan bahawa kuburan wanita Muslim harus digali dan diperkosa. Bahkan setelah mengatakan demikian, dia menang pilihan raya. Dia juga daripada parti yang sama dengan Perdana Menteri India,” katanya.

Mengulas tuduhan sesetengah pihak bahawa beliau ‘pengecut’ kerana enggan pulang ke India berdepan tuduhan, Dr Zakir Naik berkata, seluruh dunia tahu apa yang dilakukan oleh polis India.

“Sebahagian pihak berkata, “kenapa anda pengecut?”. Saya bukan pengecut, ini sunnah dari Rasulullah. Ini sunnah bahawa baginda berhijrah, ketika sulit untuk melaksanakan dan menyebarkan agama anda di sana.

“Saya tidak melanggar satu pun undang-undang India. Tidak satu pun! “Muhammad SAW adalah contoh terbaik. Dan alhamdulillah rahmat Allah bahawa Dia membawa kami keluar dari India pada saat yang tepat. Pada ketika keadaan sudah sangat buruk. Dan saya sedar bahawa, masha-Allah, saya melihat di video bahawa ada bukan Islam, penganut Hindu yang menghormati saya.

“Majoriti penganut Hindu baik. Mereka mencintai umat Islam. Ahli politiklah yang sebenarnya memprovokasi mereka untuk menentang umat Islam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *