Bersatu Perak teguh sokong Muhyiddin, kutuk pengkhianat dalam parti

BANGI, 24 Syaaban 1438H, Ahad – Dua puluh satu Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak, hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden, dan mengutuk tindakan pengkhianat yang menjadi duri dalam daging parti itu.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu dalam kenyataan bersama 21 ketua bahagian parti itu mendesak kumplan terbabit berundur dan melepaskan jawatan mereka dalam Bersatu, sesuai dengan kelantangan mereka melafazkan kata-kata desakan dan ancaman keluar parti.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan En Azrul Suhadi Bin Mokhtar yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Pendaftar PPBM Perak. Untuk makluman, jawatan tersebut telah terbubar secara rasminya pada 31 Mac 2017.

“Beliau adalah Ketua Penaja Bahagian Ipoh Timor bersama En. Jemaat Bin Yacob, Ketua Penaja Bahagian Teluk Intan telah menyatakan kononnya mereka mewakili seluruh bahagian PPBM Negeri Perak mendesak supaya Presiden PPBM Tan Sri Muhyidin Yassin meletakkan jawatan. Perkara ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Katanya, mereka tidak mewakili seluruh kepimpinan Bersatu Perak dan hanya merupakan segelintir individu yang kecewa, sambil sanggup menjadi alat kepada individu berkepentingan dan terpesong daripada perjuangan parti yang sebenar serta berniat untuk memecahbelahkan parti.

“Malang sungguh di sebalik matlamat perjuangan PPBM untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional dan memperjuangkan hak rakyat, timbul pula segelintir individu di dalam PPBM yang keutamaannya adalah untuk memperjuangkan agenda peribadi dan memusnahkan parti.

“Mereka inilah sebenarnya kumpulan pengkhianat parti yang merupakan duri dalam daging dan musuh dalam selimut yang mempunyai niat buruk terhadap parti. Kami percaya kumpulan ini telah terpesona dengan janji manis seseorang. Setelah gagal menunaikan janji, pucuk pimpinan telah ditohmah bagi menyelamatkan diri.

“Individu yang bersikap seumpama pepatah ‘baling batu, sembunyi tangan’ ini, mendendangkan lagu perjuangan. Hakikatnya, beliau adalah pemakan dedak, mengharapkan habuan dengan tindakan adu domba,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, tindakan mereka itu jelas satu pengkhianatan kepada parti dan penghinaan kepada ahli-ahli Bersatu yang ikhlas berjuang untuk menyelamatkan negara.

“Musuh kita yang utama ialah Najib Razak dan kroni-kroninya yang telah menyusahkan rakyat, merosakkan imej negara dan mencalar maruah Malaysia yang dahulunya disegani oleh dunia tetapi kini menjadi sebuah negara kleptokrat yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang rakus mencuri khazanah negara.

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar daripada melayani karenah segelintir individu pengkhianat parti yang kecewa dan rendah moral,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *