Berita UtamaUtama

Madrasah arwah Thaqif akhirnya buka mulut

KOTA TINGGI, 3 Syaaban 1438H, Ahad – Tempat belajar Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi hari ini buat pertama kalinya tampil dalam satu kenyataan bagi merungkai segala pertanyaan orang ramai berhubung tragedi berlaku yang mengejutkan satu negara.

Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, pihak madrasah mengakui maklum tentang rekod jenayah lampau dimiliki pembantu warden berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pembantu warden tersebut telah mengaku sendiri tentang sejarah lamanya setelah diterima berkerja di madrasah sekali gus membuatkan pihak madrasah memahaminya yang cuba bersikap jujur untuk membaiki kehidupan.

“Kerana kami maklum, dia telah diberi parol dan dibebaskan awal kerana berkelakuan baik.

“Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya pengarah penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya.

“Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada seseorang untuk menjadi lebih baik?

“Semoga kita semua terus diberi peluang untuk menjadi lebih baik dan berubah kearah yang lebih baik. Beliau telah menjalankan tugas dengan baik dan beliau bukan seorang ustaz.

“Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz di madrasah kearah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya memberhentikan dia terus menjadi manusia,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, isu pemilihan warden untuk dibenarkan bertugas di madrasah itu tidak sama sekali membela pelaku tersebut ketika dia memilih untuk mengambil tindakan terhadap pelajar dengan menggunakan getah paip.

“Kejadian yang berlaku (sebat) ia bukan seperti yang orang ramai gambarkan dan pihaknya mempunyai bukti kejadian dalam rakaman litar tertutup (CCTV) yang telah diserah pada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan tulisan berkenaan tidak dapat memberi fokus yang banyak tentang sikap Allahyarham Thaqif, dakwaan penderaan, dan hal-hal yang mungkin mengganggu emosi keluarga Allahyarham.

Ia berikutan kerana sedari awal pihak madrasah telah menjaga adab untuk sama sekali tidak mahu mengguris perasaan keluarga Allahyarham.

Selain itu, tulisan berkenaan turut mengakui madrasah tersebut tidak didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan berikutan ia tidak disyaratkan namun madrasah sangat gembira untuk mendaftar dibawah kementerian apapun selagi ia boleh menambah baik sistem di madrasah tersebut.

“Seperti yang ditularkan dan ada didalam dada akhbar tentang luahan arwah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar dijelaskan buat masa ini.

“Bagaimanapun, terdapat enam keping lagi surat dari arwah yang mungkin boleh menjelaskan watak sebenar arwah yang telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Istilah yang digunakan mungkin tidak boleh menggambarkan hakikat sebenar kejadian. Sebagai contoh, bila sesorang pelajar menggambarkan dia dibuli, kita harus mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham?

“Untuk hal ini, kita beri ruang untuk polis jalankan siasatan,” katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada pelajar yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia berpotensi untuk berlaku dimana-mana sahaja pusat pengajian, namun, dalam konteks MTAJ, ia adalah terkawal.

“MTAJ juga adalah sebuah madrasah tahfiz yang didirikan dengan bantuan ramai umat islam dan sama sekali tidak berteraskan keuntungan.

“Oleh yang demikian, apa jua bentuk sumbangan kewangan digunakan untuk melengkapkan fasiliti agar anak-anak MTAJ dapat belajar dengan serba serbi dan cukup,” kata kenyataan itu.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close