Berita UtamaUtama

SPRM tahan 12 individu terbabit rasuah perbaharui permit pekerja asing

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1438H, Jumaat – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 orang awam termasuk dua wanita yang menjadi ejen bagi pekerja asing dalam urusan memperbaharui permit pekerja asing (PLKS).

Penahanan itu melibatkan kerjasama SPRM dengan MyEG Services Berhad (MyEG) selepas mendapati wujudnya kegiatan rasuah dalam proses memperbaharui PLKS secara atas talian menerusi portal syarikat tersebut.

Difahamkan, selepas permohonan dibuat secara atas talian, hanya majikan kepada pemohon tersebut sahaja yang dibenarkan untuk mengambil permit tersebut.

Bagaimanapun, ejen-ejen ini dikatakan akan menghulurkan sejumlah wang kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk menyerahkan permit tersebut tanpa perlunya kehadiran majikan.

Ejen-ejen ini dipercayai menawarkan wang rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM700 bagi setiap permohonan agar proses penerimaan PLKS bagi pihak pekerja asing tersebut boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, kesemua mereka akan direman untuk membantu siasatan SPRM.

“SPRM memandang serius perbuatan suspek-suspek ini kerana perkara sedemikian boleh mengundang kejadian yang tidak diingini sehingga mengugat keselamatan negara,” ujar beliau ketika dihubungi.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 33 hingga 50 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close