Berita Utama

Syor kerajaan tukar sesi sekolah mula jam 8 pagi

Ada murid, guru terpaksa redah sesak seawal 6 pagi

BANGI, 9 Rejab 1444H, Selasa – Demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, kerajaan dan Kementerian Pendidikan (KPM) disarankan mengubah sesi persekolahan di Semenanjung Malaysia bermula jam 8 pagi.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, cadangan itu juga bagi meraikan konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan slogan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek iaitu ‘Murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera’.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mempunyai belas kasihan dan empati kepada keadaan guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi.

“Jika sekolah di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah.

“Di sekolah pedalaman, dalam keadaan hari masih gelap, anak-anak kecil terpaksa meredah jalan becak dan berlumpur untuk ke sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam situasi itu, ada murid yang mungkin terpaksa meredah denai belukar dan berperahu untuk ke sekolah, katanya.

“Malah, ada murid-murid dan guru-guru yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga. Terpaksa bergegas ke sekolah.

“Jika kerajaan prihatin dengan keselamatan dan kesejahteraan  rakyat, apa salahnya kerajaan lakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button