Berita Utama

KDN gesa kerjasama pihak sekolah lapor kegiatan gangsterisme

JOHOR BAHRU, 26 Rejab 1438H, Ahad – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan, sebaliknya melaporkan sebarang kegiatan gangsterisme pelajar mereka kepada pihak berkuasa berkaitan.

Timbalan Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan berkata, laporan itu penting bagi membendung kegiatan berkenaan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

“Jangan menyembunyikannya hanya kerana tidak mahu merosakkan reputasi sekolah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, polis akan bekerjasama penuh dengan pihak sekolah yang terlibat supaya langkah sewajarnya dapat diambil.

“Kita telah mengenal pasti enam buah sekolah di Johor Bahru Utara (berhubung masalah ini) dan polis kini menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Nur Jazlan berkata demikian sebagai mengulas kes di sebuah sekolah di Klang, Selangor, membabitkan 18 individu termasuk 13 pelajar ditangkap kerana terlibat dengan kumpulan kongsi gelap, Geng 24.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya mengesahkan pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), berjaya menahan sebanyak 13 pelajar dan lima bukan pelajar kerana menyertai kumpulan kongsi gelap berkenaan, semalam.

Khalid berkata, pihaknya telah mengesan pembabitan pelajar Sekolah Menengah (SM) Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar dan SM Kampung Jawa dalam aktiviti tersebut.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close