Berita UtamaUtama

Selangor akui tertekan, mahu kekal juara Piala Presiden Isma 2017

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rejab 1438H, Selasa – Pasukan Isma Selangor FC akui sudah merasai tekanan untuk beraksi pada kejohanan bola sepak Piala Presiden Isma 2017 bagi mempertahankan gelaran juara yang dirangkulnya tahun lalu.

Penolong pengurus pasukan, Mohd Hazwan Abdul Halim berkata, Selangor mempunyai kelebihan untuk terus mempertahankan kejuaraan itu kerana masih mengekalkan jurulatih dan pemain yang sama seperti tahun lalu.

“Kita masih mengekalkan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar sebagai jurulatih pasukan, selain 11 pemain asal kita pada tahun lalu untuk beraksi sekali lagi kali ini. Maka keserasian itu sudah ada.

“Setakat ini, kita hanya memerlukan beberapa lagi pemain tambahan untuk menampung kekosongan pemain yang berhijrah. Dan ia akan ditentukan dalam pemilihan terbuka yang akan dilakukan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Katanya, beliau yakin tahun ini akan memperlihatkan corak perlawanan yang mencabar bagi Selangor, berikutan persediaan awal yang dilakukan oleh pasukan lain.

“Kami agak tertekan dan melihat pasukan lain juga sudah mula melancarkan perang psikologi untuk merampas gelaran juara daripada Selangor.

“Kita juga menantikan cabaran-cabaran daripada pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata, pasukan naib juara tahun lalu, Az-Zahrah FC adalah antara pencabar terdekat kepada Selangor memandangkan corak permainan yang ditonjolkan skuad itu pada perlawanan akhir lepas.

“Selain itu, pasukan Johor juga antara yang pasukan yang kami sasarkan memberi cabaran hebat kepada kami. Malah, saya melihat pasukan Kelantan juga sudah mula menunjukkan taring mereka.

“Saya kira Kelantan adalah pencabar baru kepada Selangor, kerana dengar kata mereka dapat beli pemain-pemain dari pasukan lain,” katanya.

Pasukan Isma Selangor FC muncul sebagai juara sulung di Kejohanan Piala Presiden Isma 2016 menumpaskan pasukan Az-Zahrah FC dengan jaringan 3-1.

Selangor berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 bersama piala pusingan dan plak.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close