Berita UtamaIstimewa

Cadangan UMNO adakan PRU15 segera undang malapetaka dahsyat

Jangan lupa PRN Sabah jahanamkan usaha frontliners kekang wabak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Perbalahan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sahaja merugikan parti dan ahli, bahkan rakyat Melayu muslim di negara ini secara keseluruhan.

Ketika rakyat menghadapi kesulitan hidup, perebutan kuasa perlu diketepikan malah isu yang masih tidak menemui titik noktah harus segera diselesaikan.

Ketua Penerangan Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Asyraf Badhrul berkata, pemulihan ekonomi negara, kes COVID-19 yang semakin meningkat, bencana alam, dan pelbagai lagi patut dijadikan fokus utama.

“Kita akui memang tak boleh nak tahu secara keseluruhan apakah benar dakwaan Wan Ahmad Fayshal yang akar umbi UMNO dipergunakan, tapi saya boleh faham kenapa beliau berkata sedemikian.

“Betul ke isu rakyat yang diperjuangkan UMNO sekarang? Atau itu cuma helah sahaja.

“Janggal apabila dilihat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengerahkan ketua bahagian untuk mendesak kepada PRU15, dalam keadaan negara sekarang.

“Terlalu banyak isu yang belum selesai, dan perebutan kuasa ini patutnya di belakang agenda,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal bahawa sebilangan pemimpin UMNO terkait kes mahkamah termasuk Presiden parti itu menggunakan suara kebangkitan akar umbi UMNO menolak Bersatu hanya demi memenuhi agenda peribadi mereka sahaja.

Ketua Pemuda Bersatu itu mendakwa, mereka menggunakan Bersatu sebagai kambing hitam bagi menjadikan alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan jalan perundingan masih terbentang luas.

“Mereka menggunakan Bersatu sebagai alasan mempercepatkan pilihan raya, sedangkan sebenarnya boleh sahaja segala isu kerusi (pilihan raya) dan perbezaan yang menjadi pertikaian mereka dirunding.

“UMNO ada banyak kelompok, tetapi satu kelompok paling ketara adalah kelompok terkait kes mahkamah yang banyak memainkan peranan mendesak. Jadi ini sebenarnya perkara terselindung di sebalik kebangkitan suara akar umbi menolak Bersatu,” dakwanya.

Ditanya mengenai cadangan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan secepat mungkin, Asyraf berkata, ia hanya wajar dilaksanakan setelah keadaan baik pulih; nombor kes yang terkawal; atau majoriti rakyat sudah divaksin.

“Kalau PRU diadakan, kita ibarat mengundang malapetaka lebih dahsyat ke rumah kita sendiri.

“Jangan lupa PRN Sabah yang telah menjahanamkan usaha frontliners mengekang wabak ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button