Berita Utama

Projek rundingan terus bukan boleh dilakukan sesuka hati

Pelaksanaan rundingan perlu dilakukan dengan penuh integriti

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Pemberian sebarang projek secara Rundingan Terus (RT) adalah wajar tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh integriti.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ia bagi memastikan projek diberikan kepada kontraktor berwibawa dan tidak membawa kerugian kepada negara.

“…kadangkala kita memerlukan sistem yang ringkas, tetapi ‘handler’ iaitu jawatankuasa teknikal dan juga jawatankuasa kewangan dan lembaga perlu terdiri daripada orang yang mempunyai integriti.

“Ini untuk memastikan agar ia dijalankan dengan lebih telus, diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan bernilai untuk wang,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Runding Terus: Wajar atau Tidak?’ terbitan Bernama TV di sini.

Akhbar juga berkata sebarang projek RT perlu memenuhi kriteria tertentu dan bukan boleh dilakukan dengan sesuka hati.

Ia katanya termasuk sesuatu yang mungkin perlu dilakukan demi kepentingan negara, kecemasan atau jika tidak dilakukan, ia akan memudaratkan sesuatu perkhidmatan.

Beliau memberikan contoh Amerika Syarikat yang terpaksa mengeluarkan beberapa projek RT ketika kejadian bencana Taufan Katrina bagi memenuhi keperluan kecemasan ketika itu.

Akhbar berkata kelemahan RT yang biasa berlaku di negara ini dan negara membangun ialah apabila dicemari dengan krisis integriti apabila ia diberikan untuk mendapat keuntungan lebih dan diberikan kepada kroni.

“Sebenarnya jika masyarakat kita ada integriti, apa-apa sistem pun tidak apa, isunya sekarang kenapa ada tender terbuka dan rundingan terus (RT) ini, kerana ada manusia-manusia tamak, sebab ada penipu, ada orang-orang yang fraud nak pusing dan melakukan penyelewengan.

“Di Malaysia, di negara-negara membangun, kita dapati ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan korup, mereka ini kreatif, jika ada arahan baharu, mereka akan cari jalan agar pemberian tender itu akan memberi keuntungan kepada diri sendiri,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button