Berita Utama

Dewan Rakyat lulus RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

KUALA LUMPUR, 7 Rejab 1438H, Selasa – Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu yang antara lain menganggap kanak-kanak sebagai saksi kompeten bagi kes jenayah seksual, dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan diluluskan di peringkat dasar semalam.

Ia diluluskan selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said kira-kira 6.15 petang ini.

Sebelum itu, ia dibahaskan antara kem kerajaan dan pembangkang dalam beberapa isu teknikal dalam RUU tersebut seperti umur, definisi mangsa, terma pornografi kanak-kanak, keterangan saksi dan kawasan kuasa pelaksanaan RUU itu.

RUU bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual ini dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001.

Azalina ketika sesi penggulungan berkata, RUU itu menaikkan status kanak-kanak untuk memberi keterangan tanpa sokongan walaupun undang-undang sedia ada ketika ini menyatakan sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak mahkamah masih mempunyai kuasa untuk memberi pertimbangan sama ada mereka (kanak-kanak) boleh memberikan keterangan.

“Tiada definisi umur berhemah kanak-kanak, tetapi mahkamah memutuskan usia mentah adalah antara umur 13 tahun ke bawah. Oleh itu umur kanak-kanak bijak adalah dalam lingkungan 14 sehingga 18 tahun, mereka ini boleh memberi keterangan secara bersumpah,” katanya.

Menjawab soalan P.Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) yang ingin tahu cara pendakwaan terhadap kanak-kanak berstatus tidak bernegara dan pelarian, Azalina berkata, prosedur dan pemakaian undang-undang adalah sama terhadap semua kanak-kanak sekiranya jenayah berlaku di Malaysia.

“Bagi menentukan umur kanak-kanak, pihak pendakwa akan memohon Polis Diraja Malaysia untuk kanak-kanak terlibat menjalani ujian dan sekiranya disahkan kanak-kanak akta-akta sedia ada adalah terpakai,” katanya.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close