Berita UtamaUtama

Mana satu betul, UMNO tentukan: PAS

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Rejab 1438H, Isnin – Keengganan kerajaan daripada membentangkan usul pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 secara tidak langsung menyokong andaian beberapa penganalisis politik yang menyifatkan pengaruh UMNO semakin lemah.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, belum pernah isu besar yang dibawa oleh UMNO berani ditolak oleh rakan sekutunya dalam Barisan Nasional, sehingga terpaksa tunduk dengan keputusan itu.

“Ia seperti mencabut gigi taring UMNO di dalam BN. MCA pun sudah mengisytiharkan kemenangan secara terbuka.

“Kecuali isu RUU355 ini adalah kecil bagi UMNO, maka andaian tadi mungkin salah. Jika ianya satu isu kecil sahaja, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mungkin tidak merasa tertekan untuk mengumumkan penarikan diri kerajaan daripada membentangkannya.

“Maka UMNO tidak boleh dikatakan lemah. UMNO masih bertaring di dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Muhammad Abduh berkata, ia juga berkemungkinan lain UMNO menganggap RUU355 sebagai isu kecil sehingga tidak berasa tertekan dan terhina untuk menarik diri daripada dibentangkan.

Maka perkara itu katanya, bukan satu kekalahan dan tunduk kepada rakan komponen dalam BN, sebaliknya hanya meraikan dan menjaga silaturrahim yang disifatkan beliau tidak menjejaskan dasar dan ketuanan UMNO.

“Kalau begini keadaannya, maka UMNO bukanlah boleh dianggap sebagai pejuang Islam sejati.

“Pejuang Islam sejati sudah pasti merasa tertekan dan amat terguris untuk tunduk kepada tekanan parti-parti politik yang bersatu menolak agenda Islam untuk negara,” katanya.

Katanya, jika rang undang-undang berkenaan dianggap perkara kecil oleh parti pemerintah itu, ia jelas menunjukkan bahawa UMNO masih ‘bermain-main’ dengan Islam yang dianutinya.

“Mana satu yang betul, UMNO-lah yang akan menentukannya. Apa yang UMNO rasa dengan penarikan diri itu, itulah UMNO yang sebenar.

“Rakyat akan mengukurnya di situ. Jika UMNO tidak merasa tertekan dan terhina, rakyat yang enggan dengan agenda Islam akan memuji UMNO.

“Manakala rakyat yang cintakan Islam akan marahkan UMNO kerana tunduk kepada tekanan orang yang menghalang agenda Islam,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close