Berita Utama

Desak tubuh RCI siasat rasuah pekerja asing

Pastikan majikan patuhi sepenuhnya gaji minimum

BANGI, 9 Syawal 1444H, Ahad – Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes rasuah yang berlaku dalam sistem pengurusan pekerja asing.

Pengerusi bersamanya, N. Gopal Kishnam dan Irene Xavier berkata, siasatan tersebut wajar dilakukan terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam sistem pengurusan, penyedia perkhidmatan dan agensi pengambilan pekerja asing.

“Kiita perlu menggunakan pendekatan holistik untuk menangani rasuah.

“Tiada siapa boleh menganggap pekerja asing sebagai komoditi dan mengaut keuntungan daripadanya,” katanya.

Dalam pada itu, LLRC menuntut kerajaan lebih tegas dalam memastikan majikan mematuhi sepenuhnya gaji minimum yang ditetapkan iaitu RM1,500.

Katanya, LLRC menerima aduan bahawa ribuan pekerja dalam sektor perkilangan – selepas bekerja selama 20 hingga 30 tahun dengan gaji permulaan RM400-500 sebulan, gaji semasa mereka hanyalah RM20 hingga RM50 lebih tinggi daripada gaji minimum berkanun RM1,500.

“Ini adalah benar-benar tidak adil kerana mereka mempunyai 15 hingga 20 tahun pengalaman bekerja daripada pendatang baharu. Kerajaan harus melihat secara serius isu ini, katanya.

Dalam pada itu beliau juga merayu supaya kerajaan menubuhkan semula pusat kemahiran sebagai persediaan menghadapi transformasi industri.

Pusat kemahiran semula diyakini boleh membantu pekerja yang diberhentikan untuk mendapatkan kemahiran baharu dan seterusnya mencari pekerjaan lain.

“Kerajaan harus menyediakan tenaga kerja mahir untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan memudahkan peralihan yang lancar kepada negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button