Berita UtamaUtama

Mufti Selangor kemuka bantahan awal terhadap permohonan semakan Hizbut Tahrir

SHAH ALAM, 26 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula permohonan semakan difailkan Hizbut Tahrir terhadap Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan tiga yang lain bagi mencabar fatwa mengatakan ajaran kumpulan itu sesat.

Hakim Syarie Muhammad Adib Husain menetapkan tarikh itu bagi memastikan responden dan pemohon telah memfailkan bantahan awal serta afidavit jawapan masing-masing sebelum mahkamah meneruskan dengan hujahan kedua-dua pihak.

Muhammad Adib sebelum itu menetapkan 24 Feb depan untuk Mohd Tamyes dan tiga lagi responden, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memfailkan bantahan awal mereka terhadap permohonan semakan yang difailkan jurucakap Hizbut Tahrir, Abdul Hakim @ Ramizu Othman.

Mahkamah juga menetapkan 24 Mac depan untuk Abdul Hakim, 47, memfailkan afidavit balasan.

Mohd Tamyes, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan JAIS diwakili peguam syarie Wan Aiza Wan Abdullah sementara peguam Syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili MAIS dan Abdul Hakim tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Aiza memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ingin mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Abdul Hakim berdasarkan lima isu, antaranya mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan berkenaan.

Wan Aiza berkata, mahkamah itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak tindakan responden dalam mengeluarkan fatwa itu dan Mohd Tamyes tidak boleh dijadikan pihak dalam permohonan berkenaan berikutan Abdul Hakim tidak mempunyai locus standi.

Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa Selangor juga tidak boleh dijadikan pihak dalam permohonan semakan berkenaan berikutan tiada peruntukan undang-undang untuk menyaman jawatankuasa itu.

Abdul Hakim bagaimanapun membantah dan meminta mahkamah menolak permohonan bantahan awal tersebut atas alasan ia merupakan satu cubaan untuk melambatkan proses mahkamah selain cubaan untuk menghentikan sistem kehakiman yang  melibatkan persoalan akidah.

“Bantahan awal ini akan membuang masa mahkamah kerana ia hanya melibatkan isu teknikal undang-undang. Bagi saya isu tiada locus standi, mahkamah tiada bidang kuasa hanyalah kesalahan undang-undang sejati yang boleh dielak

“Yang penting kita dengar permohonan semakan untuk buktikan responden ialah pihak berkuasa agama yang serius dalam menangani akidah. Mereka salah apabila menuduh Hizbut Tahrir sesat,” katanya.

Pada November lepas, Abdul Hakim memfailkan semakan kehakiman itu bagi memohon mahkamah menarik balik fatwa bertajuk ‘Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir’ bertarikh 11 Sept 2015 yang digazetkan pada 17 Sept 2015 di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Abdul Hakim juga mahu Mohd Tamyes dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memohon maaf secara terbuka kepada Hizbut Tahrir serta menyiarkannya di akhbar-akhbar utama dan lain-lain penerbitan, khususnya akhbar serta penerbitan yang telah menyiarkan fatwa berkenaan.

Selain itu, Abdul Hakim juga mahu MAIS dan/atau JAIS mengarahkan semua masjid dan surau di Selangor supaya menanggalkan semua poster serta sepanduk berkenaan fatwa tersebut dan apa jua bahan cetakan yang menyesatkan Hizbut

Tahrir, selain memohon JAIS mengembalikan semula komputer riba peribadi milik beliau (Abdul Hakim) serta barangan yang dirampas di pejabat Hizbut Tahrir Malaysia dengan segera.

Hizbut Tahrir diasaskan pada tahun 1953 di Al Quds (Baitul Maqdis), Palestin dan dipelopori oleh ulama Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani. Hizbut Tahrir Malaysia ditubuhkan pada tahun 1990-an. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close