Berita Utama

Kerajaan pertimbang kelonggaran SOP jika proses dos penggalak selesai

SOP terlalu ketat beri kesan kepada industri pelancongan negara

PUTRAJAYA, 22 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 di negara ini termasuk dos penggalak selesai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata, perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita lihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata, walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

Ismail Sabri berkata ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19.

Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura telah dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di luar negara, menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara, katanya.

Beliau berkata, pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.

Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan

“Ada khabar angin yang apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.

Pada Ahad ketika di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

Beliau berkata, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button