Berita UtamaUtama

Waris penumpang MH370 mohon sepina terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Waris penumpang pesawat MH370 mengemukakan permohonan supaya Mahkamah Tinggi mengeluarkan sepina terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes saman mereka terhadap Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Plaintif, Mah Kam Siew iaitu isteri kepada mangsa, Koh Tiong Meng, 40 turut memohon supaya sepina dikeluarkan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Peguam Sudesh Kumar yang mewakili Kam Siew berkata,sepina itu bagi membolehkan ketiga-tiga individu berkenaan memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman kecuaian difailkan anak guamnya yang dijadualkan pada 20 Februari depan.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes saman itu di kamar Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata, Tiong Meng adalah penumpang pesawat MH370 yang memasuki kontrak perjanjian penerbangan dengan MAB bagi penerbangan dari Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam dan dijangka mendarat di Beijing pada 6.30 pagi, 8 Mac 2014.

Plaintif mendakwa MAB cuai dan melanggar perjanjian penerbangan sehingga menyebabkan kehilangan anggota keluarga mereka.

Defendan didakwa memungkiri perjanjian apabila gagal mendarat di Beijing dan tiada bukti sahih mengenai pengakhiran pesawat sehingga hari ini, selain tidak diketahui lokasi penumpang serta anak kapal.

Plaintif menuntut antaranya ganti rugi kehilangan sokongan, ganti rugi tambahan bagi penderitaan dialami, ganti rugi teladan, kos, faedah dan relif lain.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close